Menteri nafi usul pindaan dibuat tergesa-gesa

Liew Vui Keong
Liew Vui Keong
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong hari ini menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya usul pindaan Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan dibuat secara tergesa-gesa, kerana menurutnya ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak diberi tempoh masa yang mencukupi untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.

Beliau berkata memorandum berhubung pindaan itu diberikan kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bagi mendapatkan pandangan mereka kira-kira dua bulan lepas.

"Apabila ulasan datang kepada kami, kerajaan Negeri Sabah didapati menyokong pindaan itu, tapi kerajaan negeri Sarawak kata mereka perlu menunggu pandangan Jawatankuasa DUN berhubung perkara itu.

"Saya difahamkan bahawa jawatankuasa DUN itu yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak telah berjumpa dengan mereka pada 28 Mac. Jadi jawatankuasa DUN itu telah menasihati mereka, jadi apa yang mereka kata tidak cukup masa?” katanya salam persidangan media di lobi Parlimen hari ini.

Liew Vui berkata beliau malah menjemput semua Ahli Parlimen untuk menyertai sesi taklimat berhubung perkara itu Khamis lepas, namun menurutnya ahli Parlimen dari Sarawak, khususnya dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak muncul. Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim dalam kenyataan hari ini antara lain dilaporkan berkata rakyat Sarawak serius mahukan pindaan itu dilakukan secara holistik dan tidak dibuat secara tergesa-gesa.

Semasa ditanya sekiranya kerajaan akan membawa kembali usul pindaan itu Liew Vui berkata:”Pindaan ini nak bawa hingga semalam pun sudah (mengambil masa) 43 tahun, mungkin kena tunggu 43 tahun lagi.”

Usaha kerajaan bagi meminda perlembagaan untuk mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak sebagaimana yang ditetapkan dalam perjanjian penubuhan Malaysia pada 1963, gagal mendapat sokongan dua pertiga majoriti di Dewan rakyat semalam. -Bernama

Artikel Berkaitan: