Mahkamah Persekutuan tolak tiga rayuan Najib

Najib (empat, kiri) tiba di pekarangan Mahkamah Persekutuan di sini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak tiga rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak, termasuk dibekalkan kepadanya dokumen tambahan untuk beliau menyediakan pembelaan dan perintah sekatan bagi menghalang media serta orang ramai daripada membincangkan kesnya.

Panel tujuh hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum turut menolak rayuan bekas perdana menteri berusia 66 tahun itu berhubung prosedur yang diambil oleh Peguam Negara untuk memindahkan kes beliau dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Sementara itu, panel itu membenarkan rayuan pendakwaan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menghendakinya (pendakwaan) mengemukakan surat pelantikan pendakwa ad hoc Datuk Sulaiman Abdullah kepada pembelaan.

Hakim lain dalam panel berkenaan ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah dan empat Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Ramly Ali, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Tan Sri Idrus Harun serta Datuk Nallini Pathmanathan.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah berhubung rayuan Najib untuk mendapatkan dokumen tambahan, Hakim Idrus berkata Parlimen telah meluluskan Seksyen 51 Kanun Tata Cara Jenayah (CPC) untuk mengawal selia dokumen yang perlu dibekalkan kepada pembelaan sebelum perbicaraan dan perkara ini telah pun dipatuhi oleh pihak pendakwaan. Beliau berkata, Najib tidak berhak untuk mendapatkan sebarang dokumen tambahan lagi pada peringkat ini, dan menambah, jika permohonan (Najib) itu dibenarkan, ia akan sama seperti menyerahkan keseluruhan kertas siasatan kepada beliau.

Mengenai rayuan pendakwaan berhubung surat pelantikan Sulaiman, Hakim Wong berkata pendakwa raya mempunyai kuasa melantik pengamal persendirian untuk mengendalikan pendakwaan kes jenayah bagi pihaknya.

Beliau berkata tidak ada apa juga perbezaan dari segi istilah konseptual dalam pelantikan Sulaiman oleh pendakwa raya dengan pelantikan seorang peguam oleh sebuah entiti persendirian untuk bertindak bagi pihaknya.

Katanya pembelaan tidak mempunyai jangkaan yang sah untuk melihat surat itu.

"Melainkan untuk mencabar kesahihan pelantikan peguam, tidak wujud sebarang kewajipan dalam pelantikan pihak berkuasa atau entiti persendirian untuk mengemukakan surat pelantikan,” katanya. Beliau berkata komunikasi terlindung anak guam-peguam di bawah Seksyen 126 Akta Keterangan dan hujah berkaitan campur tangan yang dibangkitkan Peguam Negara (AG) mempunyai merit.

Hakim Wong berkata mahkamah mendapati tiada kekhilafan di pihak hakim Mahkamah Tinggi ketika melaksanakan kuasanya mengikut seksyen 417 (2) Kanun Tata Cara Jenayah dalam memindahkan kes itu kepadanya.

"Beliau (hakim Mahkamah Tinggi) telah melaksanakan budi bicaranya secara kehakiman, justeru, tidak timbul persoalan tentang ketidaksahihan seperti yang dipertikaikan perayu (Najib)," katanya.

"Tujuan penarikan balik sijil dalam kes ini adalah lebih kepada pendakwa raya mengambil langkah proaktif dalam memelihara status quo prosiding, menghalang sebarang cabaran dari segi perlembagaan di masa depan berkaitan peruntukan yang membentuk asas bagi prosiding itu sendiri susulan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini dalam kes Semenyih Jaya dan Indira Gandhi," katanya.

Di Semenyih Jaya, yang melibatkan perkara tanah, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan bahawa kuasa kehakiman persekutuan masih terletak pada badan kehakiman, walaupun Perkara 121 (1) dipinda pada tahun 1988. Pada dasarnya, Mahkamah Tertinggi berpendapat bahawa pindaan perlembagaan yang mengganggu struktur asas Perlembagaan Persekutuan itu sendiri akan menjadi tidak berperlembagaan.

Dalam kes Indira Ghandi, melibatkan satu keputusan bersejarah, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa penukaran agama kanak-kanak kepada Islam adalah tidak sah.

Hakim Wong berkata hakim Mahkamah Tinggi membuat keputusan berdasarkan pertimbangannya sendiri untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi yang sama dan bukan mendaftarkannya sebagai kes baharu oleh sebab beliau berpendapat perintah seperti itu adalah wajar.

Sementara itu, Hakim Malanjum pula menyampaikan keputusan mahkamah dalam rayuan Najib berkaitan perintah sekatan. Beliau menegaskan bahawa perintah itu tidak perlu disebabkan Malaysia telah memansuhkan perbicaraan juri dan kes Najib didengar oleh hakim tunggal yang mengadili fakta dan undang-undang.

Beliau berkata keputusan hakim perbicaraan juga tertakluk kepada semakan semula rayuan. "Sungguhpun jika perintah sekatan tidak dibenarkan, perayu masih mempunyai tindakan undang-undang berkaitan fitnah dan menghina mahkamah,” katanya, dan menambah, Najib masih boleh mengemukakan sama kerana fitnah atau memulakan prosiding menghina mahkamah.

Mahkamah Rayuan pada Mac tahun ini menolak tiga rayuan Najib, menyebabkan beliau mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Najib, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan kes beliau bermula pada 3 April dan pendakwaan telah memanggil seorang saksi untuk memberi keterangan pada hari berkenaan. Perbicaraan akan bersambung dari 15 April hingga 10 Mei. -Bernama