Langgar embargo: Azmin kemuka usul tindakan terhadap Najib

Mohamed Azmin - Foto Sinar Harian Zahid Izzani
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau telah mengemukakan satu usul supaya bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dikenakan tindakan keras kerana melanggar embargo Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Lembaga Tanah Persekutuan (Felda).

Beliau berkata usul itu telah dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, pagi tadi.

"Persoalannya, bagaimana seorang bekas perdana menteri boleh melakukan kesalahan begitu, membocorkan dokumen yang di embargo sehingga pagi ini tetapi telah dibocorkan petang semalam.

"Sebab itu awal pagi ini, saya telah kemukakan usul kepada Speaker supaya tindakan keras diambil terhadap Yang Berhormat Pekan. Ini satu kesalahan besar,” katanya ketika menggulung perbahasan Kertas Putih berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) membangkitkan mengenai tindakan Najib melanggar Peraturan Mesyuarat 95A, berhubung dokumen embargo yang tidak boleh disiarkan dengan apa cara sekali pun sebelum dibentangkan.

"Adakah menteri (Mohamed Azmin) sedar beliau (Najib) telah memasukkan sebahagian dokumen embargo ini di Facebook sekitar jam 6 petang semalam,” soal Ahmad Fahmi ketika mencelah penggulungan perbahasan itu.

Mohamed Azmin dalam penggulungan itu turut menjelaskan dakwaan Pinjaman Sara Hidup dan bantuan Pendahuluan Hasil akan dikurangkan daripada RM1,500 kepada RM1,000 adalah tidak benar sama sekali.

"Ini adalah propaganda UMNO menjelang (Pilihan Raya Kecil) Rantau. Saya telah umumkan pagi tadi (semasa pembentangan Kertas Putih) kadar sedia ada dikekalkan iaitu RM1,500,” katanya.

Dalam pada itu, Kertas Putih bertujuan memberi penjelasan mengenai isu dihadapi Felda serta pelan pemulihannya yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini kemudian diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat.

Kertas Putih itu antaranya menyatakan kerajaan Pakatan Harapan bersetuju memberi bantuan kewangan sebanyak RM6.23 bilion kepada Felda, berbentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan secara berperingkat mengikut keperluan. -Bernama