Akui kesilapan, Shahrulezad mohon maaf

Shahrulezad. - Foto Sinar Harian Zahid Izzani
Shahrulezad. - Foto Sinar Harian Zahid Izzani
A
A
A

PENGARAH dan penulis skrip drama bersiri Nur 2, Shahrulezad Mohameddin mengakui kesilapan yang berlaku membabitkan babak membaca al-Quran pada episod pertama drama itu.

Tidak mahu menuding jari, jauh sekali menegakkan benang yang basah, Shahrulezad berkata, dia mengambil sepenuhnya tanggungjawab ke atas kesilapan itu dan memohon maaf.

Katanya, demi mengelakkan salah faham daripada terus berlaku, pihaknya sudah merakam semula babak tersebut.

"Sebelum ini kita silap sebab tak rujuk pada pihak sepatutnya. Saya akui kesilapan itu datang daripada saya dan saya mohon maaf atas kesilapan itu.

"Kesilapan dalam babak tersebut adalah bacaan panjang pendek sahaja tetapi bila salah, ia akan membawa maksud yang berbeza.

"Itu yang saya takut. Lagilah kalau ada penonton yang hafal dan mengamalkan ayat itu nanti. Siapa yang akan tanggung?" katanya ketika ditemui pada malam anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL2019) yang diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Ahad lalu.

Tambah pemenang trofi Pengarah Pilihan dan Penulis Skrip Pilihan DFKL2019 ini, pihaknya telah merakamkan semula babak tersebut dan 'ditampal' pada babak asal.

Bukan itu sahaja, kali ini Radius One Sdn Bhd turut merujuk cara bacaan itu kepada pihak Jakim.

Artikel Berkaitan:

"Memandangkan drama ini turut ditayangkan di iflix, jadi kita rakamkan semula babak tersebut dan beri pada Jakim.

"Bila Jakim dah luluskan, baru kita tampal pada 'master' dan kemudian hantar semula kepada stesen TV," jelasnya.

Pada DFKL2019 yang berlangsung Ahad lalu, drama Nur berjaya memenangi enam dari sembilan kategori yang dipertandingkan.

Ia termasuklah kategori Pasangan Pilihan, Aktor Pilihan dan Antagonis Pilihan.

ARTIKEL BERKAITAN: Takut ALLAH tak maafkan saya: Atiq Azman