Malaysia amal sistem Raja Berperlembagaan: PM

Dr Mahathir - Foto Sinar Harian Zahid Izzani
Dr Mahathir - Foto Sinar Harian Zahid Izzani
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan bahawa Malaysia mengamalkan sistem demokrasi dan Raja Berperlembagaan bukannya raja berkuasa mutlak.

Beliau menjelaskan, amalan sistem Raja Berperlembagaan jelas dilaksanakan sejak Persekutuan Tanah Melayu dibentuk.

“Kalau masih ada dalam undang-undang negeri Johor, itu terbatal..Johor juga setuju dengan sistem pemerintahan di negara kita. Jadi, saya berpendapat kalau kita anggap bahawa yang akan memilih Perdana Menteri dan menteri besar adalah raja, kita sudah tidak jadi negara demokratik lagi.

“Kerana walaupun rakyat pilih, parti yang berhak melantik menteri besar tapi ini dinafikan hak rakyat. Maknanya bukan demokrasi tapi negara kerajaan raja berkuasa mutlak.

“Kalau ini sebenarnya boleh ada perbahasan tentang ini..sama ada kita terima sistem sedia ada iaitu raja tidak berkuasa hanya ambil tindakan melalui nasihat di peringkat pusat Perdana Menteri dan peringkat negeri, menteri besar, kalau itu dihapuskan maka kita tak perlu ada pilihan raya umum lagi,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian bagi mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang bertitah agar tidak mencampuri urusan Negeri Johor kerana negeri yang berdaulat ini masih mempunyai seorang Sultan.

ARTIKEL BERKAITAN: Henti buat bising dan bertelagah

Menurut Sultan Ibrahim, biar pun baginda kini berada di luar negara, perkembangan dalam negara terutamanya di Johor tetap diikuti melalui laporan semua pihak.

Artikel Berkaitan:

"Saya mahu pihak tertentu berhenti membuat bising dan bertelagah mengenai politik sebaliknya tumpukan kepada usaha menjaga negara.

"Saya akan membuat keputusan yang terbaik demi rakyat saya apabila tiba masanya nanti," titah baginda lagi menerusi akaun Facebook rasmi baginda pada Rabu.