Kerajaan Pahang akur perintah mahkamah

Wan Rosdy Wan Ismail - Foto Bernama
Wan Rosdy Wan Ismail - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi di sini, yang membenarkan penangguhan sementara operasi penguatkuasaan di Cameron Highlands.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat mahkamah susulan injunksi difailkan 23 pekebun tanah haram Cameron Highland, pada 3 April lalu.

Menurutnya, kesemua pekebun itu memfailkan injunksi menerusi Mahkamah Tinggi di sini, bagi mencabar notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan Kerajaan Pahang.

"Mereka memfailkan injunksi dan mahkamah membenarkan permohonan mereka dengan memerintahkan kerajaan negeri berhenti untuk meneruskan penguatkuasaan.

"Kita akur keputusan itu namun atas faktor kepentingan awam, penasihat undang-undang kerajaan negeri akan mengemukakan rayuan, esok," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Pengaturcaraan Kendiri Prosedur Permohonan Cadangan Pemajuan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Pahang, di dewan Majlis Perbandaran Kuanta di sini, hari ini.

Berikutan keputusan mahkamah itu, Kerajaan Pahang terpaksa menghentikan operasi dan penguatkuasaan di kawasan ladang yang diceroboh di Cameron Highlands.

Wan Rosdy berkata, beliau secara peribadi berasa sedih dengan keadaan pencerobohan tanah kerajaan yang berlaku di Cameron Highlands

Artikel Berkaitan:

"Secara peribadi saya sedih.. Kita buat penguatkuasaan untuk kebaikan penduduk. Walaupun dikatakan rasis padahal Kerajaan Pahang tiada niat itu. Kawasan tersebut memang teruk... dalam tempoh dua hingga tahun takut ada orang mati kerana minum air.

"Saya berharap kerajaan negeri menang untuk buat tindakan selanjutnya. Perkara ini kita akan kaji dan perhalusi terutama di kawasan-kawasan yang sensitif.

"Kita hendak pastikan juga kawasan itu memang penerokaan haram dan ada pencemaran sungai. Saya tidak berganjak dengan keputusan penguatkuasaan tanah haram," katanya.

Bermula Februari lalu, Kerajaan Pahang menjalankan operasi penguatkuasaan terhadap 61 buah kebun dengan keluasan 55 hektar membabitkan dua fasa yang dijangka berakhir pada April.

Keputusan untuk melancarkan operasi itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Penguatkuasaan Daerah Cameron Highlands pada 1 Februari lalu yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Fokus penguatkuasaan ialah ke atas pencerobohan yang berlaku di rizab sungai dan jalan yang berada dalam kawasan tadahan air Kuala Terla khususnya Sungai Ichat di bawah Mukim Ulu Terlom,.

Wan Rosdy berkata, operasi itu terpaksa dilakukan bagi mengelakkan kawasan tadahan air untuk muka sauk Ipoh Road di Kuala Terla daripada terus tercemar dengan aktiviti pertanian akibat penggunaan racun dan baja.

Menurutnya, kerajaan telah mengeluarkan notis notis pengosongan terlebih dahulu bertujuan mengingatkan pekebun yang melakukan pencerobohan ke atas tanah kerajaan tanpa izin.

"Pekebun telah menceroboh tanah kerajaan tanpa izin sejak 2009 lagi tanpa membayar lesen kepada kerajaan negeri sejak tahun tersebut," katanya.