Empat ditahan pecah masuk pejabat ADUN

Barang rampasan yang dicuri oleh empat lelaki selepas pecah masuk pejabat ADUN.
Barang rampasan yang dicuri oleh empat lelaki selepas pecah masuk pejabat ADUN.
A
A
A

TELUK INTAN - Empat lelaki warga tempatan berjaya ditahan polis selepas dipercayai memecah masuk pejabat salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sini, Isnin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, keempat-empat suspek berusia antara 31 hingga 47 tahun ditahan pihak polis kira-kira jam 1.50 pagi semalam.

"Kita telah menerima laporan bahawa telah berlaku kejadian pecah masuk dewan pejabat ADUN di Teluk Intan di mana beberapa barang didapati hilang antaranya tiga unit televisyen berukuran 32 inci.

"Turut dilaporkan hilang satu set 'box power M' dan tiga unit portable speaker dengan anggaran kerugian sebanyak RM7,000," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd Marzukhi bertindak daripada maklumat yang diperoleh pihak polis berjaya menahan empat lelaki disyaki memecah masuk dewan berkenaan dan membeli barang-barang curi.

"Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak untuk siasatan lanjut bersama barang-barang rampasan selain mereka ditahan reman selama enam hari bermula semalam hingga 14 April.

"Semakan rekod lampau mendapati dua suspek mempunyai kesalahan lampau di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya," katanya.

Tambahnya, ujian saringan awal air kencing juga mendapati salah seorang tangkapan positif dadah jenis methamphetamine manakala tiga lagi negatif.

Artikel Berkaitan:

"Ini merupakan kejayaan pasukan polis IPD Hilir Perak menyelesaikan kes dalam tempoh kurang daripada 24 jam dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.