Sinar Kasih Ramadan 2019 sasar bantu 200 keluarga

Para penyumbang menyampaikan replika cek sumbangan masing-masing sempena pelancaran Program Sinar Kasih Ramadan 2019 di rumah YBK hari ini .
Para penyumbang menyampaikan replika cek sumbangan masing-masing sempena pelancaran Program Sinar Kasih Ramadan 2019 di rumah YBK hari ini .
A
A
A

KELANA JAYA - Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) mensasarkan agihan bantuan kepada 200 keluarga kurang berkemampuan dari seluruh Malaysia bagi menyediakan makanan bersahur dan berbuka puasa sepanjang Ramadan yang bakal menjelang.

Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom, berkata, menerusi Program Sinar Kasih Ramadan 2019, setiap keluarga yang dikenal pasti akan menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM600 bagi membiayai keperluan berbuka dan bersahur.

Menurutnya, 2019 merupakan tahun ke-11 perlaksanaan program itu di mana YBK berperanan sebagai ‘ladang amal’ buat pihak yang mahu menyumbang.

“Sehingga kini kita telah mengumpulkan RM64,000 sumbangan. RM120,000 diperlukan untuk kita mencapai sasaran membantu 200 keluarga miskin.

“Tahun lalu kita berjaya mengagihkan kepada 190 keluarga, jadi tahun ini kita harap lebih ramai keluarga yang boleh dibantu.

“Lebih banyak sumbangan diterima, lebih ramai keluarga akan dapat manfaat. Segala kos pengurusan ditanggung oleh YBK kerana semua sumbangan yang dikumpulkan akan disalurkan terus kepada penerima program ini,” katanya selepas Perasmian Program Sinar Kasih Ramadan, di Rumah YBK di sini hari ini.

Zainal Abidin dan Hartini melancarkan Program Sinar Kasih Ramadan 2019 hari ini.
Zainal Abidin dan Hartini melancarkan Program Sinar Kasih Ramadan 2019 hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Program Sinar Kasih Ramadan, Datin Hartini Osman berkata, sejak awal dilancarkan, seramai 2,900 keluarga telah mendapat manfaat daripada Program Sinar Kasih Ramadan melibatkan agihan berjumlah RM1.4 juta.

Menurutnya, jumlah RM600 yang ditetapkan adalah berdasarkan keperluan pendapatan garis kemiskinan (makanan) semasa.

“Agihan akan dibuat seminggu sebelum bermula Ramadan, jadi penerima boleh membeli barang keperluan makanan untuk sepanjang Ramadan,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan dalam bentuk cek atau wang tunai terus ke akaun Bank Islam YBK di nombor akaun 12038010002132 dan setiap sumbangan akan menerima resit pengecualian cukai.

Maklumat lanjut boleh hubungi YBK di talian 013-9630100 atau 03 7875 0036 (Afidah Nazimuddin).