Sultan Johor minta henti buat bising, bertelagah

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah, mahu pihak tertentu berhenti membuat bising dan bertelagah mengenai politik.

Baginda bertitah mahu pihak-pihak berkenaan menumpukan kepada usaha menjaga negara.

Selain itu titah baginda agar pihak terutama dari luar Johor tidak mencampuri urusan negeri ini.

"Berkenaan Johor, jangan sibuk mencampuri urusan negeri ini kerana negeri yang berdaulat ini masih mempunyai seorang Sultan," titah baginda dalam laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah akan membuat keputusan terbaik demi rakyat Johor apabila tiba waktunya kelak.

Sultan Johor turut bertitah memaklumkan baginda kini berada di luar negara tetapi sentiasa mengikuti perkembangan dalam negara terutama Johor melalui laporan semua pihak.

ARTIKEL BERKAITAN: MB Johor sah letak jawatan

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian telah meletakkan jawatan berkuat kuasa kelmarin.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Osman telah menyerahkan surat rasmi peletakan jawatan kepadanya kelmarin dan sepucuk surat lagi kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Menteri Besar Johor telah letak jawatan semalam (kelmarin) dengan surat kepada saya dan saya akan hantar surat kepada Sultan Johor kerana baginda berada di luar negara ketika ini,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen semalam.

Pengerusi PH itu berkata, buat sementara waktu Johor tidak mempunyai Menteri Besar.

“Mungkin kita akan lantik pemangku. Tunggulah Sultan Johor kembali dari luar negara.

"Mengenai siapa pengganti perlu ikut perjanjian PH iaitu Menteri Besar Johor mesti daripada parti Bersatu,” katanya.