Jangan buat kenyataan palsu: JBPM Perak

Salah satu kenyataan palsu tular di media sosial berhubung kehilangan Mohammad Ashraf.
Salah satu kenyataan palsu tular di media sosial berhubung kehilangan Mohammad Ashraf.
A
A
A

GOPENG - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat kenyataan palsu yang boleh menjejaskan tumpuan petugas pada operasi pencarian Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang sejak 23 Mac lalu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, pelbagai kenyataan yang menyatakan mangsa telah dijumpai telah mengganggu tumpuan anggota penyelamat yang terlibat sejak 19 hari lalu.

"Fokus petugas mencari dan menyelamat (SAR) pasti akan terganggu berikutan maklumat yang berlegar di laman sosial adalah tidak betul.

"Perkara itu sedikit sebanyak akan menyebabkan fokus anggota berbelah bahagi dan pencarian ini tidak lagi bersifat bersungguh-sungguh atau was-was," katanya.

Menurutnya, spekulasi yang dilontarkan turut menjejaskan emosi keluarga dan memberi impak negatif terhadap tugas anggota.

"Perasaan dan emosi keluarga akan mempengaruhi semua petugas. Keadaan itu turut menjejaskan kerjasama yang terbentuk untuk berkongsi maklumat antara satu sama lain.

"Masyarakat luar yang mempercayai kenyataan palsu itu akan memperlekehkan kehadiran petugas di kawasan pencarian malah, ahli keluarga petugas akan turut meragui keselamatan kami," katanya.

Sementara itu, abang mangsa, Mohd Zahiruddin Hassan, 35, berkata, ahli keluarganya turut terkesan dengan penularan kenyataan atau komen negatif itu.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ditanya perasaan ketika ini, mana-mana keluarga pasti bersedih dengan tragedi yang menimpa kita.

"Tapi apakan daya kami untuk mengekang suara netizen mengenai fitnah ini. Apa yang diharapkan, kami meminta doa kalian semua. Itu yang kami perlukan setakat ini," katanya.