Muhammad Syawal perlu RM80,000

Muhammad Syawal disahkan menghidap masalah jantung sejak berusia sebulan.
Muhammad Syawal disahkan menghidap masalah jantung sejak berusia sebulan.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kegembiraan pasangan suami isteri yang menantikan kehadiran cahaya mata selepas dua tahun berkahwin bertukar duka apabila anak lelaki yang dilahirkan disahkan menghidap usus berlubang.

Bayi comel berkenaan yang lahir pra-matang ketika usia kandungan baru mencecah tujuh bulan disahkan menghidap masalah itu selepas sembilan hari dilahirkan bagaimanapun dia telah menjalani pembedahan awal untuk menyelamatkan nyawanya.

Namun dugaan bersilih ganti apabila Muhammad Syawal Mohd Azani Azuan disahkan pula menghadapi masalah jantung berlubang ketika dia berusia sebulan.

Anak kepada pasangan Mohd Azani Azuan Abdul Halim, 28 dan Siti Badariah Bistamam, 26 itu memerlukan RM80,000 untuk pembedahan segera bagi merawat jantungnya yang turut mengalami masalah injap sempit, otot bengkak dan blok jantung bengkok.

Mohd Azani berkata, walaupun anaknya kelihatan ceria seperti bayi lain namun dia sering penat, nafasnya akan terhenti seketika selain kuku dan bibirnya akan menjadi biru.

"Semasa mengandung isteri saya tidak menghadapi sebarang masalah namun ketika kandungan berusia tujuh bulan air ketubannya pecah dan pembedahan dilakukan untuk menyelamatkan nyawa bayi kami.

"Selepas doktor sahkan Muhammad Syawal menghadapi masalah usus berlubang, pembedahan segera telah dilakukan dan alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar namun tidak lama kemudian kami sekali lagi diuji apabila anak kami disahkan pula menghadapi masalah jantung," katanya pada sidang media yang diadakan di sini.

Mohd Azani Azuan berkata, dia yang bekerja kilang di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas dan hanya memperoleh pendapatan RM1,300 sebulan manakala isterinya yang sebelum ini turut bekerja terpaksa berhenti bagi menumpukan perhatian kepada anak mereka.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Muhammad Syawal perlu berjumpa dengan doktor setiap dua minggu sekali bagi memantau keadaan jantungnya dan dia berharap pembedahan dapat dilakukan dengan segera.

Badan Kebajikan One Hope Charity & Welfare Berhad yang dimaklumkan mengenai kes Muhammad Syawal tampil menghulurkan sumbangan awal sebanyak RM10,000 untuk bayi berkenaan.

One Hope Charity & Welfare menyumbangkan RM10,000 kepada Muhammad Syawal.
One Hope Charity & Welfare menyumbangkan RM10,000 kepada Muhammad Syawal.

Pengerusinya, Chua Sui Hau berkata, pihaknya telah melancarkan tabung khas bagi mengumpul dana untuk bayi berkenaan agar dia dapat menjalani pembedahan dalam kadar segera.

"Kedua ibu bapa bayi ini akan berjumpa dengan doktor dalam masa terdekat bagi menetapkan tarikh pembedahan.

"Kita mahu ia segera dilakukan kerana bimbang sesuatu yang lebih buruk akan berlaku dan saya berharap orang ramai turut tampil membantu Muhammad Syawal dalam menghulurkan bantuan," katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Public Bank One Hope Charity & Welfare 3193433435.