Penjawat awam didakwa kemuka tuntutan palsu kerja lebih masa

No Image Caption
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pembantu perawatan kesihatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini terhadap enam pertuduhan mengemukakan tuntutan elaun kerja lebih masa palsu yang keseluruhannya berjumlah RM3,134.67, dua tahun lepas.

Zamri Yahaya, 52, meminta dibicarakan terhadap kesemua pertuduhan yang dibuat di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 itu ketika dibacakan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengemukakan tuntutan elaun lebih masa dari bulan Januari hingga Jun 2017 sedangkan tertuduh tidak melakukan kerja-kerja lebih masa tersebut di Klinik Kesihatan Teluk Bahang di Daerah Barat Daya di sini. Tuntutan-tuntutan palsu ini didakwa dikemukakan tertuduh di antara bulan Februari hingga Julai 2017.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Azlan Basri menawarkan jaminan RM60,000 bagi kesemua pertuduhan bagaimanapun Zamri yang tidak diwakili peguam memohon jaminan terhadapnya dikurangkan atas alasan pendapatan bersih bulanannya hanya RM1,800 selain perlu menyara isteri, tiga anak dan seorang kakak yang merupakan OKU.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Jun depan untuk sebutan kes.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh berhadapan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai kesalahan atau denda RM10,000, yang mana lebih tinggi. - Bernama

Artikel Berkaitan: