Ada orang benci tapi rindu Pas: Mohd Amar

Datuk Mohd Amar Abdullah
Datuk Mohd Amar Abdullah
A
A
A

KOTA BHARU - Bagaikan istilah 'benci tapi rindu', itulah sebenarnya yang berlaku kepada mereka yang cuba 'mengusik' Pas dengan pelbagai isu ketika ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, 'mereka' yang berkenaan seperti tidak senang duduk melihat kebahagiaan Pas terutamanya apabila berlaku PRK.

"Bagi saya, bila ada PRK, maka timbullah cerita duit... sekarang ini musim PRK Rantau, maka wujudlah cerita duit itu.

"Sebelum ini RM90 juta, selepas itu RM1.4 juta dan sebagainya, bila lepas PRK, senyap pula,"," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Beliau turut hairan apabila Pas dikaitkan lebih-lebih lagi dalam kempen pilihan raya walaupun tidak bertanding.

"Ini isu pilihan raya. Pas tidak bertanding di Cameron Highland, Semenyih, dan Rantau, tapi kami tetap jadi sasaran," ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai lima individu yang berpengaruh dalam Pas yang didakwa terlibat dalam perbincangan berkaitan bayaran penyelesaian saman RM1.4 juta bersama Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown, Mohd Amar mengakui mengakui tidak mengetahui hal itu.

"Saya tak tahu dan memang dari awal lagi Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menjelaskan bahawa tiada perbincangan berlaku melibatkan perkara tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Pas terpaksa bayar Clare Rewcastle Brown RM1.4 juta: Anwar

Terdahulu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Pas terpaksa membayar sebanyak RM1.4 juta kepada pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berhubung penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah difailkan Abdul Hadi.

Anwar malah mendakwa mempunyai dokumen transaksi bank melibatkan pembayaran berkenaan namun hanya akan mendedahkannya sekiranya Pas terus mencabar beliau.

Anwar dalam sidang akhbar selepas memberi ucaptama di Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa Pulau Pinang mencabar Pas untuk menjelaskan sama ada parti itu membayar RM1 juta kepada Rewcastle-Brown sebagai kos untuk menyelesaikan saman antara kedua-dua pihak di luar mahkamah.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menafikan parti itu ada membayar Clare Rewcastle Brown.