KPKT giat laksana proses pemutihan PPR Lembah Subang

Halimey
Halimey
A
A
A

PETALING JAYA - Proses pemutihan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang sedang giat dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama syarikat kontraktor pengurusan, Intra Harta Sdn Bhd bagi mengenal pasti pihak yang menyeleweng unit-unit kediaman di sini.

ADUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, langkah yang dilaksanakan sejak dua bulan lalu masih berjalan sehingga kini bagi memastikan tiada unit-unit kediaman di PPR berkenaan disalah guna dan diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab

Beliau berkata, pihaknya tidak menafikan sebelum ini terdapat beberapa unit PPR tersebut dihuni oleh warga asing selepas kediaman itu diseleweng oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan wang dengan cara mudah.

"Insya- ALLAH isu ini akan dapat diatasi kerana KPKT dan kontraktor pengurusan sedang giat mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan pencerobohan ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Sebelum ini, laporan Sinar Xtra pernah mendedahkan mengenai tindakan sebilangan pemilik PPR yang mengambil kesempatan untuk menyewakan kediaman mereka kepada warga asing bagi mendapatkan wang dengan cara mudah.

Lebih mengejutkan, ada di antara mereka yang mengenakan bayaran sewa sebanyak tiga kali ganda dari jumlah sewaan asal unit kediaman terbabit kepada warga asing.

Selain itu, terdapat juga unit-unit kosong yang diceroboh secara sesuka hati oleh pihak tidak bertanggungjawab ini.

Mengulas lanjut, Halimey berkata terdapat juga sebilangan warga asing pernah berkunjung ke pejabatnya sebelum ini bagi membuat rayuan selepas mereka menerima notis pengusiran daripada KPKT hasil daripada proses pemutihan itu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Halimey berkata beliau terpaksa bertegas untuk tidak melayan sebarang rayuan berikutan tindakan pihak terlibat sememangnya menyalahi undang-undang.

"Mereka melakukan pencerobohan di unit PPR tersebut dan disebabkan itu saya ambil pendekatan untuk tegas dalam perkara ini," katanya.