Perikanan tahan bot Vietnam tangkap gamat

Zawawi (tengah) menunjukkan gamat yang dirampas berikutan penahanan dua bot Vietnam di Pulau Tenggol.
Zawawi (tengah) menunjukkan gamat yang dirampas berikutan penahanan dua bot Vietnam di Pulau Tenggol.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Dua bot nelayan Vietnam sanggup menempuh perjalanan lebih tiga hari untuk menceroboh masuk ke perairan negara semata-mata mahu menangkap gamat yang dikatakan banyak di negeri ini.

Bagaimanapun, usaha mereka tidak berjaya apabila ditahan penguatkuasa Unit Perlindungan Sumber, Taman Laut, Jabatan Perikanan Terengganu pada jam 2 petang semalam selepas mendapat maklumat daripada nelayan yang menyedari kegiatan haram bot asing itu.

Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata, bot Vietnam itu dikesan menangkap hasil laut di kawasan Taman Laut Pulau Tenggol iaitu kira-kira 2 batu nautika dari pulau yang diwartakan sebagai Taman Laut Malaysia.

“10 anggota diketuai Timbalan Pegawai Perikanan, Huzaifah Jaafar bergerak ke Pulau Tenggol dengan bot peronda laju dan bot peronda taman laut. Hasil pemeriksaan, kita menemui alat yang digunakan untuk menangkap gamat.

“Kita turut merampas kira-kira 10 kilogram gamat yang sudah ditangkap. Jumlahnya tidak banyak kerana difahamkan bot ini baru saja sampai di sini,” katanya pada sidang akhbar di jeti Perikanan pangkalan Pulau Kambing, di sini hari ini.

Berikutan itu, jabatan perikanan menahan 11 awak-awak berusia antara 26 tahun hingga 40 tahun kerana tidak mempunyai pasport dan menyita dua bot serta pelbagai peralatan yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.

Menurut Zawawi, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan iaitu menangkap ikan tanpa kebenaran dan Seksyen 16(3) kerana tiada notifikasi memasuki perairan negara.

Pada tahun ini, Jabatan Perikanan Terengganu berjaya menahan 17 bot tempatan dan dua bot nelayan asing kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, nelayan asing berminat datang ke perairan Terengganu kerana negeri ini kaya dengan hasil laut terutama gamat.

“Gamat banyak di perairan sebab kita tidak ada kilang memperoses gamat, jadi tiada permintaan. Di Vietnam ada kilang dan mereka guna alat menangkap gamat tajam yang bukan saja merosakkan perairan malah turut memusnahkan terumbu karang.

“Berdasarkan bekalan minyak dan makanan yang banyak ditemui dalam dua bot Vietnam ini, kita percaya mereka bercadang duduk lama di sini bagi menangkap gamat. Kita juga dimaklumkan ada bot pembekal yang datang beri bekalan dan ambil gamat dari bot ini,” katanya.