Kecewa Penganugerahan PJM ditangguh

Mohammad Junaidi
Mohammad Junaidi
A
A
A

KUANTAN - Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Pahang kecewa dengan penangguhan Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada veteran ATM di negeri ini yang sepatutnya dijadualkan berlangsung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang di sini, esok.

Timbalan Yang di Pertuanya, Leftenan Kolonel (B), Mohammad Junaidi Salleh berkata, penangguhan itu sudah kali ke lima setelah kali terakhir diadakan pada 13 April 2018.

Menurutnya pada majlis penganugerahan itu terakhir yang diadakan di Cameron Highlands itu, 300 veteran menerima anugerah masing-masing.

“Kami terdiri 400 veteran ATM di Pahang menerima jemputan untuk majlis ini hanya pada 3 April lalu melalui panggilan telefon dan surat daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Cawangan Pahang.

“Kami dimaklumkan anugerah akan disampaikan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu justeru dalam tempoh yang singkat, penerima terpaksa menyiapkan persiapan termasuk menyediakan baju Melayu dan mengatur perjalanan dengan perbelanjaan sendiri,” katanya.

Mohammad Junaidi berkata, bagaimanapun, hasrat veteran untuk ke majlis bagi meraikan mereka itu tidak kesampaian lagi apabila pihak JHEV Pahang pada 9 April lalu memaklumkan majlis itu ditangguhkan.

“Kami tidak pasti bila majlis itu akan diadakan kembali kerana tarikhnya akan ditentukan kemudian.

“PVATM Pahang mewakili 15,000 ahli kecewa dan menuntut pihak Kementerian Pertahanan khususnya Pejabat Menteri Pertahanan memperbaiki kelemahan ini dan mencari kaedah terbaik bagi memenuhi tanggungjawab terhadap veteran ATM,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, veteran ATM selama ini menabur bakti dan berkorban mempertahankan kedaulatan negara ketika ketika darurat justeru mereka perlu diberi pengiktirafan oleh kerajaan dan rakyat negeri ini.

“Disebabkan penangguhan ini, ada veteran termasuk termasuk balu dan anak-anak yang akan mewakili veteran terlibat kecewa dan merajuk,” katanya.