Reman enam hari cuba sogok polis

A
A

SEREMBAN - Dua lelaki warganegara India ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana memberi rasuah RM50 kepada pihak polis di Rembau.

Mereka yang berumur 40 dan 50 tahun itu, kini direman enam hari bermula hari ini sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Nur Haryatie Mohd Saini di Mahkamah Khas Reman, Seremban selepas permohonan dibuat Pegawai Penyiasat SPRM Mohd Hanief Afiq Rosni, pagi tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Suspek ditahan anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah sekitar pekan Rembau, selepas dilihat menunggang motosikal secara melawan arus pada jam 4 petang, semalam.

Suspek ketika itu mendakwa dalam perjalanan untuk ke sebuah bank berdekatan di pekan berkenaan.

Suspek kemudian menawarkan wang RM50 kepada anggota polis dipercayai sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan undang-undang iaitu mengeluarkan saman kepada mereka.

Berikutan itu, anggota polis segera menahan mereka dan dibawa ke pejabat SPRM Negeri Sembilan, untuk tindakan lanjut.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia