Bayar RM400, bawa GRO pulang

Antara wanita yang ditahan dalam Ops Noda di Balakong.
Antara wanita yang ditahan dalam Ops Noda di Balakong.
A
A
A

KAJANG - Sebuah pusat karaoke di Jalan Cheras Perdana, Balakong, di sini, bukan sahaja menyajikan hiburan semata-mata, malah turut menawarkan gadis pelayan pelanggan (GRO).

Bagaimanapun, kegiatan itu berjaya dikesan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Gangsterisme (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor menerusi Ops Noda, tengah malam tadi.

Pemangku Pegawai Turus D7 Selangor, Asisten Superintendan Rozam Effandy Raslee berkata, operasi pada jam 12.01 tengah malam itu telah menahan 18 GRO warga asing berusia lingkungan 20 hingga 30-an.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada 16 warga Vietnam dan dua warga Indonesia.

Seorang GRO warga asing yang cuba menyembunyikan diri di dalam almari audio kononnya bagi mengelak diri daripada dicekup.
Seorang GRO warga asing yang cuba menyembunyikan diri di dalam almari audio kononnya bagi mengelak diri daripada dicekup.

"Selain itu, turut ditahan adalah empat lelaki Bangladesh merupakan pekerja premis serta 12 warga tempatan termasuk tiga wanita," katanya kepada Sinar Harian.

Rozam berkata, antara barang yang dirampas peralatan audio, 21 botol minuman keras pelbagai jenama serta wang tunai berjumlah RM887.

Mengulas lanjut, siasatan awal mendapati terdapat 'mummy' yang berperanan membawa pelanggan untuk memilih GRO sebagai peneman dengan harga RM60 sehingga RM100 bagi tempoh satu jam. Namun, jika mahu membawa pulang GRO, pelanggan perlu membayar RM400 untuk satu malam.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, siasatan juga mendapati premis ini beroperasi tanpa lesen.

"Ketika serbuan, terdapat segelintir GRO ini cuba menyembunyikan diri di dalam almari audio di belakang pembesar suara. Ada juga di mana dua pekerja Bangladesh ini menyorok di atas syiling bilik karaoke, namun tindakan itu hanya sia-sia," katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Eksais 1976 dan Enakmen Hiburan dan Tempat- Tempat Hiburan Selangor 1995.