Kertas Putih Felda: Azmin cabar Najib berbahas di Parlimen

Azmin pada sidang media berkenaan Kertas Putih ke arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di luar Dewan Rakyat, hari ini. - Foto Zahid Izzani
Azmin pada sidang media berkenaan Kertas Putih ke arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di luar Dewan Rakyat, hari ini. - Foto Zahid Izzani
A
A
A

KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencabar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke Dewan Rakyat membahaskan Kertas Putih Felda yang membongkar penyelewengan bekas pengurusan agensi tersebut.

Azmin membidas Najib supaya tidak terus bersuara di sebalik papan kekunci dan menggunakan medium media sosial untuk mengemukakan hujah sedangkan beliau adalah seorang Ahli Parlimen yang mewakili Pekan.

Ahli Parlimen Gombak itu menegaskan, beliau akan menjawab segala hujah yang dikemukakan oleh bekas Menteri Kewangan itu ketika perbahasan Kertas Putih Felda petang ini, sekiranya Najib tampil berbahas di Dewan Rakyat.

“Biar beliau (Najib) datang berbahas di Dewan Rakyat, dan saya akan jawab (hujah Najib).

Dari kiri: Pengerusi FELDA Tan Sri Datuk Megat Zaharuddin; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar membentangkan Kertas Putih ke arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di luar Dewan Rakyat, hari ini. - Foto Zahid Izzani

“Jangan gunakan Facebook (untuk tanya soalan dan berhujah). Beliau Ahli Parlimen, kena duduk dalam Parlimen. Najib bukan Ahli Facebok atau Ahli Twitter.

“Suruh beliau (Najib) datang ke Dewan Rakyat, petang ini saya memberi jawapan kepadanya,” kata Azmin pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Najib di akaun Facebook miliknya hari ini, yang mempertahankan tindakan Felda membeli 37 peratus pegangan dalam PT Eagle High Plantations Tbk (Eagle High) ketika pentadbirannya, kerana wujud opsyen jual dalam perjanjian urus niaga terbabit.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, ketika membentangkan Kertas Putih Felda di Dewan Rakyat, Azmin antara lain mendedahkan Najib selaku Menteri Kewangan terbabit dalam meluluskan, malah mengarahkan untuk dipercepatkan proses perolehan Eagle High Plantations daripada Rajawali Capital International yang dimiliki Peter Sondakh.