Kerajaan PH diingatkan lebih berhati-hati bawa pindaan: Azalina

Azalina
Azalina
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, mengingatkan kerajaan PH agar lebih berhati-hati dalam membawa sebarang pindaan kepada undang-undang.

Beliau yang juga Ketua Unit Undang-undang UMNO berkata, peristiwa yang berlaku di Dewan Rakyat semalam, berpunca daripada sikap tergesa-gesa kerajaan dalam membuat pindaan Rang Undang-Undang Perkara 1(2) Perlembagaan (Pindaan) 2019 tanpa melalui konsultasi yang cukup daripada pihak-pihak bertanggungjawab.

“Pindaan ini masih boleh diteruskan sekiranya menteri yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Undang-Undang dan Peguam Negara memberi nasihat sepatutnya kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad).

“Mereka seharusnya faham akan prosedur Dewan Rakyat dan menasihati Perdana Menteri untuk memberi ruang kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk meneliti pindaan ini, malah kerajaan juga boleh menunggu sehingga Jawatankuasa Khas Kabinet yang menyemak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selesai membuat rundingan dan perbincangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang bertujuan, mengembalikan semula status asal Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam perjanjian pembentukan Malaysia 1963 tidak mendapat majoriti dua pertiga untuk diluluskan Dewan Rakyat apabila pengundian dibuat secara belah bahagi, malam semalam.

Pengundian dibuat selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggulung perbahasan mengenai pindaan itu mulai jam 9.30 malam.

Keputusan undian yang dijalankan mendapati 138 daripada 221 wakil rakyat mengundi bersetuju RUU itu diluluskan, manakala 59 wakil rakyat tidak mengundi.

Dalam pada itu, Azalina berkata, beliau percaya semua ahli-ahli Parlimen pembangkang khususnya daripada Sabah dan Sarawak menyambut baik usaha untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun pindaan yang dibuat semalam tidak ubah seperti melepaskan batuk di tangga dan ia tidak menepati hasrat rakyat Sabah dan Sarawak yang mahukan perubahan yang lebih substansif.

“Pindaan yang dibawa semalam hanya berbentuk kosmetik. Bagaimanapun sekiranya kerajaan serius dan ikhlas untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat MA63, kerajaan perlu membenarkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk meneliti pindaan ini agar undang-undang lain juga boleh dibawa sekali termasuk Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Beliau berharap, kerajaan PH mengambil iktibar apa yang berlaku dan tidak menambah rekod kegagalan mereka lagi kerana pindaan undang-undang memerlukan proses yang inklusif dan komprehensif.