Enam negeri setuju naik kadar tarif air

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Enam negeri telah bersetuju menaikkan kadar tarif air, selaras dengan usaha kerajaan menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar.

Beliau berkata persetujuan itu dicapai hasil rundingan kementerian bersama kerajaan negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang masih lagi berjalan ketika ini.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan enam negeri tersebut.

“Sekarang konsultasi mengenai kadar tarif air masih diteruskan, dan tidak lama lagi dua lagi negeri akan bersetuju untuk menaikkan tarif air,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang ingin tahu justifikasi kementerian terhadap cadangan menaikkan tarif air di Malaysia dan penetapan had harga siling bagi setiap negeri.

Menurut Xavier, kadar tarif air di seluruh negara sepatutnya dinaikkan dua atau lima tahun lepas kerana kenaikan kos operasi tahunan tidak diimbangi dengan tarif yang setara, sekali gus meletakkan beberapa operator air dalam kedudukan kewangan yang sukar untuk memberi perkhidmatan air yang berkualiti.

Dalam pada itu, mengenai penetapan harga siling, beliau berkata ia berbeza mengikut negeri-negeri termasuk berdasarkan keupayaan operasi. - Bernama

Artikel Berkaitan: