Harap Sultan tolak peletakan jawatan Osman

Che Zakaria
A
A

PASIR GUDANG - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar diminta untuk berkenan menolak peletakan jawatan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berikutan peletakan itu tidak akan menyelesaikan masalah.

ADUN Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh berkata, peletakan jawatan mengejutkannya kerana keputusan itu tidak pernah berbangkit dalam pertemuan dengan Osman sebelum ini.

"Saya dapat maklumat beliau hantar dua sampul surat kepada Tun Mahathir Mohamad (Pengerusi Bersatu) cuma ketika itu saya tak tahu itu surat peletakan jawatan. Saya terkejut apabila Tun umumkan peletakan jawatan Datuk Osman.

"Saya harap apabila Tuanku Sultan balik nanti, baginda berkenan pertimbangkan untuk menolak peletakan jawatan Datuk Osman," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Semalam Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri mengesahkan peletakan jawatan Osman dan beliau menegaskan calon baharu bagi jawatan tersebut mesti daripada Bersatu.

Dalam pada itu, Che Zakaria berkata, pertelingkahan antara kerajaan pusat dengan istana perlu diselesaikan namun bukan dengan peletakan jawatan menteri besar.

"Semalam saya ada jumpa Datuk Osman dan beliau sebenarnya tersepit antara pusat dan istana.

"Tapi saya beritahu beliau letak jawatan bukan selesaikan masalah. Apa yang penting selesaikan pertelingkahan antara pusat dengan pihak istana," katanya.

Che Zakaria turut menegaskan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Iskandar rasional dalam menuntut hak istana dan tidak mencampuri hal politik.

"Saya ada bersama-sama TMJ dalam program semalam dan saya lihat beliau lebih rasional.

"Cuma beliau minta PH ikut Undang-undang Tubuh Negeri Johor jadi mana hak istana, hak istanalah. Mana hak pusat, hak pusatlah," katanya.

Beliau turut menyifatkan Johor ketandusan pelapis-pelapis bakal menteri besar berwibawa bagi menggantikan Osman.

"Semua Adun Bersatu wakil rakyat baharu, cuma Datuk Osman yang empat penggal, lain-lain semua dalam penggal pertama lagi.

"Pengalaman itu kurang, kita memang kekurangan pelapis untuk jawatan menteri besar. Tiada lagi yang layak jadi menteri besar," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia