Kereta terbang: Melihat fakta dan saintifik

A
A
A

MEMPERKATAKAN mengenai kereta terbang terutamanya di Malaysia, sebenarnya terdapat dua isu yang perlu difikirkan.

Pertama, ialah impak terhadap ekonomi negara dan yang kedua ialah berkaitan dengan penerokaan teknologi baharu.

Negara yang tidak berani untuk membuat penerokaan dan pelaburan akan selama-lamanya menjadi mundur dan miskin.

Walaupun pelaburan sebegini adalah terlalu tinggi jika dibandingkan dengan pelaburan dalam sektor pertanian seperti kelapa sawit, kelapa dan getah, namun pada jangka masa panjang adalah amat berbaloi.

Sebagai bukti pada tahun 1985 petroleum, timah dan hasil pertanian kelapa sawit mengalami kejatuhan harga yang teruk serta kesan kelembapan ekonomi dunia telah menyebabkan ekonomi Malaysia menguncup sebanyak satu peratus.

Penguncupan dan pengurangan hasil kerajaan ini telah meningkatkan kadar pengangguran daripada 8.5 peratus pada tahun 1984 kepada 8.5 peratus pada tahun 1985.

Hasil kerajaan telah merosot dengan ketara sehingga tidak cukup dana untuk menampung perbelanjaan mengurus seperti emolumen, bayaran pencen, bayaran khidmat hutang dan bayaran kepada geran kerajaan negeri.

Bagi menampung dana tersebut, kerajaan telah mengekalkan Dasar Melawan Kitaran. Dasar ini bermaksud kerajaan meningkatkan perbelanjaan walaupun dalam keadaan ekonomi merosot.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan dengan dasar ini, pada September 1986, Tun Dr Mahathir Mohamad membangunkan industri automotif pertama di Malaysia iaitu Perusahan Otomobil Nasional (PROTON).

Model pertama dikeluarkan ialah Proton Saga dan kerajaan telah melabur sebanyak RM480 juta yang mana bagi setiap model baharu ingin dikeluarkan memerlukan modal sebanyak RM500 juta.

Pada ketika itu, Dr Mahathir menerima kritikan hebat kerana terdapat pandangan jika kerajaan tiada duit mengapa perlu membuat pelaburan yang begitu besar serta banyak lagi cabaran terpaksa dihadapi.

Akhirnya pada tahun 1987, langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mengatasi cabaran ini membuahkan hasil apabila kerajaan berjaya meningkatkan kembali pertumbuhan ekonomi daripada 1.2 peratus pada tahun 1986 kepada 5.4 peratus pada 1987 dan 8.9 peratus pada 1988.

Secara purata ekonomi berkembang pada kadar 8.9 peratus dari tahun 1988-1996 kesan daripada pelaburan tersebut.

Pelaburan oleh kerajaan sebanyak RM480 juta itu telah memberikan keuntungan sebanyak 3,000 peratus bagi tempoh 10 tahun iaitu apabila Proton membayar cukai hasil daripada keuntungan mereka berjumlah RM18 bilion.

Apabila Proton membuka kilang di Tanjung Malim, Proton menanggung kos kilang tersebut sebanyak RM1.8 bilion tanpa membuat sebarang pinjaman bank.

Daripada perspektif teknologi pula, kilang baharu Proton itu menggunakan 60 peratus automasi iaitu asas kepada Revolusi Industri 4.0 yang mana sebanyak 180 robot digunakan untuk pemasangan dan jumlah peluang pekerjaan adalah seramai 2,000 orang.

Di samping peluang pekerjaan, peluang untuk mempelajari teknologi automotif terbuka luas selain daripada peluang perniagaan dengan mewujudkan vendor-vendor, pembekal alat gantian, pusat servis dan jualan serta lain-lain.

Perkara ini dinyatakan oleh Dr Mahathir dalam bukunya yang bertajuk Doktor Umum halaman 607.

Kita lihat pula situasi dan pengalaman di Jepun sebagaimana ditulis oleh Pengasas Sony Corporation, Akio Morita dalam buku Made in Japan.

Akio menceritakan ketika mula-mula syarikat Sony ditubuhkan iaitu pada tahun-tahun selepas perang, Sony tidak mampu untuk membayar gaji kepada pekerja.

Pihak kilang hanya mampu memberi segenggam nasi dan sedikit kicap. Keadaan ini telah ditafsir sebagai eksploitasi oleh negara Barat tetapi bagi rakyat Jepun mereka sedar bahawa negara mereka miskin dan mereka perlu berkorban mengikat perut untuk membina kembali industri.

Pengorbanan perlu dibuat tanpa mereka merungut. Tetapi kini, Jepun berkembang maju dan pekerjanya merupakan golongan bergaji paling tinggi di Asia manakala di Barat kita dapati kerap diadakan demonstrasi oleh pekerja kilang untuk menuntut kenaikan gaji dan banyak kilang yang terpaksa tutup disebabkan kos pengeluaran meningkat dan produktiviti yang sedikit.

Berbalik kepada cerita kereta terbang, sidang Dewan Rakyat baru-baru ini menjadi gamat dengan sindiran dan gelak ketawa apabila ditimbulkan isu kereta terbang. Ada juga sindiran agar ekzos kereta terbang tersebut dicipta dari buluh.

Sebenarnya kereta terbang berkonsepkan electronic vertivcal take-off landing (eVTOL) semakin popular dalam industri aeroangkasa dunia.

Pada hari keempat Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) telah menyaksikan satu memorandum persefahaman (MoU) penting antara Strand Aerospace (SAM) Sdn Bhd dengan Samad Aerospace Ltd iaitu sebuah syarikat aeroangkasa yang berpangkalan di United Kingdom.

Syarikat itu sedang membangunkan teksi udara modular yang boleh bergerak di darat dan meluncur di udara bernama Home & Urban Mobility Aircraft (HUMA).

Pada Pameran Motor Antarabangsa Geneva 2019 (GIMS 2019) pula, sebuah syarikat dari Belanda bernama PAL-V telah mempamerkan kereta terbang buatan mereka.

Kereta tersebut seberat 664 kilogram, mengambil masa kira-kira tiga hingga lima minit untuk pertukaran mod pemanduan ke mod terbang.

Pada mod pemanduan ia mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 160km/j manakala pada mod terbang ia mampu mencapai kelajuan maksimum 180km/j. Menurut jurucakap PAL-V sebanyak 75 unit kenderaan ini sudah terjual. Harga bagi model PAL-V Liberty adalah 300,000 euro dan PAL-V Liberty Pioneer adalah 500,000 euro.

Akhir sekali, apabila Malaysia ingin menerokai teknologi baharu, budaya berfikir masyarakat kita haruslah bertukar daripada mod tahyul dan tradisi kepada mod fakta dan saintifik.

* Nor Azaruddin Husni Nuruddin ialah Felo Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)