X

Kindly register in order to view this article
!

Pelayaran Ombak Rindu

A
A

Percutian atas kapal mendidik jiwa menghayati kebesaran ALLAH SWT

PERCUTIAN singkat penuh makna pastinya didambakan mereka yang sentiasa sibuk dengan urusan seharian. Sesekali mencuba kelainan dengan bercuti di atas kapal pastinya sesuatu yang sangat menyeronokkan.

Konsepnya sangat santai dan tidak perlu banyak berjalan. Namun, apa yang lebih menarik, ia memberi lebih banyak masa kepada kita untuk menenangkan jiwa dengan melihat keindahan alam. Fokus utama pelayaran akan turut memberi ruang kepada kita melancong sambil mengagumi kebesaran ALLAH SWT.

Semua ini boleh dialami dengan mengikuti pelayaran Ombak Rindu bersama Fadlim Travel dan Tours yang diuruskan anak syarikatnya, Al-Fath Travel and Tours.

Sinar Harian baru-baru ini berkesempatan mengikuti pelayaran selama empat hari tiga malam bersama 180 peserta menaiki kapal persiaran Star Gemini.




PELUANG melihat matahari terbenam di tengah lautan merupakan salah satu perkara yang sangat bernilai.
PELUANG melihat matahari terbenam di tengah lautan merupakan salah satu perkara yang sangat bernilai.

Bermula pukul 9 pagi, kami sudah berkumpul di Pelabuhan Klang untuk bermalam atas kapal menuju ke Phuket, Thailand dan Langkawi, Kedah. Setiap dua peserta akan berkongsi satu bilik.

Dua jam kemudian, pintu pelepasan dibuka dan kami dilepaskan secara berperingkat sehingga waktu terakhir dibenarkan iaitu 2.30 petang.

Tepat pukul 4 petang, bermulalah percutian eksklusif Ombak Rindu. Semua peserta diwajibkan mengikuti taklimat keselamatan sebelum diberikan kebebasan menjelajah serata kapal yang mempunyai 12 tingkat keseluruhannya.

Peserta tidak perlu bimbang tentang makanan. Tiga restoran yang disediakan di sini halal dan dibenarkan makan sebanyak lima kali sehari secara percuma mengikut pakej yang disediakan.

Bagi mereka yang 'tidak boleh hidup tanpa internet', jangan risau. Anda boleh membeli Wifi di bahagian penyambut tetamu dengan caj RM48 sehari.

Di tengah lautan samudera, kadangkala terputus hubungan dengan jaringan internet adalah perkara biasa. Namun. percayalah, anda tidak sempat bosan kerana faktor itu.

PENGALAMAN menghadiri sesi tazkirah dan solat berjemaah yang diadakan di atas kapal 'berbumbungkan' langit merupakan satu pengalaman yang tidak dilupakan.
PENGALAMAN menghadiri sesi tazkirah dan solat berjemaah yang diadakan di atas kapal 'berbumbungkan' langit merupakan satu pengalaman yang tidak dilupakan.

Percutian di atas kapal ini memang sangat sesuai untuk mereka yang sukakan privacy. Melihat deruan ombak laut saja sudah cukup menenangkan minda apatah lagi matahari terbit dan terbenam boleh dilihat jelas depan mata. Memang indah!. Berikut dikongsikan diari percutian penulis sepanjang berada di atas kapal serba mewah ini.

1. Hidangan pengisian rohani

Istimewanya pelayaran Ombak Rindu ini, peserta dihidangkan dengan pengisian rohani melalui slot qiamullail, solat Subuh berjemaah, sesi kuliah Subuh dan soal jawab kemusykilan agama. Penganjur mengundang penceramah terkenal, Datuk Seri Abu Hassan Din pada pelayaran kali ini yang membawakan tajuk kuliah Akaun Akhirat dan Sempurnakah Solatmu?. Peserta berpeluang solat berjemaah di tingkat paling atas, beratapkan langit. Sesi qiamullail pula dimulakan seawal jam 4 pagi. Pada saat itu, perasaan sayu dan kerdil menyelinap dalam sanubari penulis. Disapa angin lautan yang menderu kuat, 1,001 perasaan menyelubungi jiwa penulis. Bermula dengan solat hajat, taubat, disusuli dua kali solat tasbih dan witir, doa sebagai penutup sesi qiamullail diiringi hujan renyai. Segalanya menjadi lebih syahdu. Sesi diteruskan dengan slot tazkirah dan diakhiri dengan solat Subuh berjemaah.

SELAIN rangkaian internet, pelbagai kemudahan lain seperti kolam renang dan variasi makanan halal turut disediakan sekiranya ada memilih percutian bersama Ombak Rindu.
SELAIN rangkaian internet, pelbagai kemudahan lain seperti kolam renang dan variasi makanan halal turut disediakan sekiranya ada memilih percutian bersama Ombak Rindu.

2. Membeli-belah di Phuket dan Langkawi

Hari kedua, pada pukul 3 petang, peserta diberikan masa kira-kira enam jam untuk melihat bandar raya Phuket yang merupakan lokasi popular pelancong Barat berjemur di pantai. Kami menaiki bot untuk ke jeti Pantai Patong sebelum dibawa menaiki empat bas disediakan ke kilang pembuatan madu diusahakan oleh rakyat Malaysia. Kemudian, kami dibawa membeli-belah barangan cenderamata milik orang Muslim Thailand dan terakhir ke Pornthip Phuket melihat produk makanan seperti gajus, pes tom yam dan lain-lain. Pada hari ketiga, sesi membeli-belah diteruskan di Langkawi pula. Kami tiba di Langkawi kira-kira pukul 10 pagi dan menghabiskan masa di pulau legenda itu lebih kurang enam jam. Masa singkat itu kami manfaatkan untuk membeli batik di Gedung Bayu Enterprise, Gamat di Warisan Sireh Lagenda dan terakhir di gedung Haji Ismail memborong coklat. Kira-kira pukul 5 petang, kapal mula bergerak menuju ke Pelabuhan Klang.




PARA peserta mengambil kesempatan membeli-belah buah tangan seperti gamat di salah satu hentian pelayaran di Langkawi.
PARA peserta mengambil kesempatan membeli-belah buah tangan seperti gamat di salah satu hentian pelayaran di Langkawi.

3. Syurga makanan laut

Hari terakhir, layanan yang diberikan lebih istimewa. Kami 'berpesta' dengan makanan laut di dek tingkat 12 termasuk udang kara, tiram dan banyak lagi. Kami turut melihat persembahan sarkas dan tarian Asia oleh pekerja cruise dan wayang di Star Dust di tingkat 10.

Sesi percutian Islamik ini adalah pilihan tepat bagi seorang Muslim mengisi masa. Bukan sekadar melancong tetapi apa yang penting ia mampu mendidik diri supaya ibadah itu jangan pernah disisihkan walaupun seronok bercuti. Sesi Pelayaran Islamik seterusnya dirancang pada Oktober depan dan mereka yang berminat untuk merasai sendiri pelayaran istimewa ini bolehlah mendaftar di pejabat cawangan Fadlim dan Al-Fath di Padang Serai, Pulau Pinang; Alor Gajah, Manjung, Kangar, Tawau dan Pekan atau berhubung 019-493 0936 / 019560 4565 / 019-590 7067 untuk mendapatkan maklumat lanjut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus