MPNF mahu SPRM siasat segera skandal EHP

Mazlan Aliman
Mazlan Aliman
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) mendesak supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan dalam skandal pembelian kepentingan syarikat Indonesia, Eagle High Plantations TPK (EHP).

Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF), Datuk Mazlan Aliman berkata, isu pembelian kepentingan dalam syarikat tersebut telah dibangkit sejak tahun 2015 sehingga pihak Felda membatalkan hasrat tersebut.

"Saya sendiri sudah melawat ladang ini di Indonesia dan mendesak supaya Felda tidak meneruskan hasrat mereka dan akhirnya dibatalkan tetapi malangnya ia di teruskan kembali selepas Tan Sri Shahril Samad dilantik sebagai Pengerusi Felda dan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

"Pada waktu itu saya dapati apabila Felda memiliki pegangan sebanyak 37 peratus dengan nilai RM2.3 bilion akhirnya telah menyebabkan Felda mengalami kerugian lebih RM1 bilion jadi saya desak bukan sekadar laporan polis tetapi SPRM perlu bertindak segera bagi menyiasat semua pihak yang terlibat dalam kes ini," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan polis yang dibuat oleh Pengarah Besar Felda, Datuk Othman Omar kerana mendakwa agensi itu telah ditipu oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengarahkan Felda untuk membuat transaksi pada 2015 melalui syarikat tujuan khas (SPV) FIC Properties Sdn Bhd (FPSB).

Dalam pada itu, Mazlan berkata, Felda turut diminta supaya melepaskan dengan segera pegangan saham yang ada pada ketika ini kerana nilai saham tersebut semakin merosot.

"Saya bimbang saham akan jatuh lebih teruk dan menyebabkan Felda terus mengalami kerugian besar," kata beliau.

Sehubungan itu, beliau turut meminta supaya apa yang telah berlaku kepada Felda dijadikan iktibar oleh kerajaan supaya cermat dan berhati-hati dalam membuat keputusan termasuk tiada campur tangan politik.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga meminta supaya anak-anak Felda turut dibabitkan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Felda supaya menjadi semak dan imbang dalams etiap keputusan yang akan dibuat pada masa depan," ujarnya.