'Merantau' di DUN Rantau

Suhu PRK DUN Rantau ini semakin 'panas' memasuki fasa kedua tempoh kempen. - Foto: Adam Amir Hamzah
Suhu PRK DUN Rantau ini semakin 'panas' memasuki fasa kedua tempoh kempen. - Foto: Adam Amir Hamzah
A
A
A

SUDAH hampir dua minggu pihak media 'merantau' di DUN Rantau sempena PRK yang akan berlangsung pada 13 April ini.

Daripada pemerhatian Sinar Harian, suhu PRK DUN Rantau ini semakin 'panas' selepas memasuki fasa kedua tempoh kempen.

Hanya berbaki dua hari untuk berkempen, jentera setiap calon cuba memaksimumkan momentum gerak kerja kerana tiada siapa yang mahu bertanding untuk kalah.

'Usik mengusik' pihak lawan dan isu-isu hangat yang timbul sepanjang tempoh berkempen adalah perkara biasa, kerana tanpa kontroversi mungkin perjalanan PRK ini akan hambar.

Cuma, terserah kepada setiap pihak yang bertanding untuk menangani isu tersebut dengan baik dan berhemah.

Bercerita soal calon, meskipun PRK ini menyaksikan pertandingan empat penjuru, perhatian nampaknya lebih terarah kepada calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan calon PH, Dr S Streram.

Kelibat dua calon Bebas yang turut mencuba nasib iaitu suri rumah, R Malar dan bekas pensyarah, Mohd Noor Yassin pula seolah-olah tenggelam timbul.

Mohamad dan Streram bersama jentera masing-masing dilihat lebih agresif turun berkempen dengan jadual padat dari pagi hingga ke tengah malam.

Artikel Berkaitan:

Siang menyertai walkabout, sebelah malamnya pula menghadiri ceramah. Itulah rutin harian mereka dalam tempoh ini.

Mungkin letihnya luar biasa buat calon-calon, namun inilah peluang untuk mereka menunjukkan muka kepada pengundi.

Tidak rugi bersengkang mata dan hilang selera makan sepanjang dua minggu jika akhirnya dibalas dengan kemenangan pada hari pengundian.

Bagi pihak media pula, tiada masalah untuk 'cari makan' kerana saban hari ada saja isu yang boleh dijadikan tajuk berita.

Kebiasaannya, Mohamad akan mengadakan sidang akhbar di sebelah pagi yang memberi peluang kepada media 'mengasaknya' dengan pelbagai soalan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tok Mat enggan layan isu rumah RM6 juta

ARTIKEL BERKAITAN: Pengundian awal catat 96 peratus keluar mengundi

Streram pula sangat mesra orangnya, mudah didekati media dalam setiap programnya serta tidak pernah lari daripada menjawab sebarang isu.

Begitu juga dengan Malar yang sentiasa mengemaskini aktivitinya melalui grup Whatsapp media.

Cuma Mohd Noor saja satu-satunya calon yang kerap 'hilang' hingga membuatkan media sering garu kepala tertanya-tanya, adakah dia tidak mahukan publisiti?

Mengenai calon mana yang mempunyai peluang cerah untuk menang, adalah lebih afdal diserahkan kepada mereka yang pakar untuk membuat ulasan.

Sebaliknya, tugas ratusan media yang 'berkampung' di Rantau ini adalah berusaha sebaik mungkin menyediakan laporan seimbang meliputi semua calon.

Dari situ, pembaca khususnya pengundi boleh menilai siapa yang selayaknya menjadi wakil rakyat mereka.

Kepada orang Rantau, ada pesanan untuk anda: Jangan lupo turun mongundi Sabtu ni. Jalankan tanggungjawab kito. Pilihlah calon yang bulih bela nasib kito. Selamat mongundi!