Elak dipengaruhi golongan antivaksin

Barisan panel jemputan sempena Forum Penyakit Cegahan Vaksin di Dewan Tunku Abdul Rahman, di sini, semalam.
Barisan panel jemputan sempena Forum Penyakit Cegahan Vaksin di Dewan Tunku Abdul Rahman, di sini, semalam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Ibu bapa perlu merujuk kepada pakar berhubung suntikan imunisasi dan bukan hanya bersandar kepada fakta tidak tepat yang dikeluarkan oleh golongan antivaksin.

Timbalan Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Ahmad Shah Mohamed berkata, kehadiran golongan antivaksin yang menyalurkan fakta tidak tepat banyak mempengaruhi keputusan ibu bapa dalam memberi suntikan vaksin kepada anak-anak.

“Kehadiran golongan antivaksin ini banyak bersandarkan kepada fakta tidak tepat dan kita rasa perlu diperbetulkan dengan menyalurkan fakta yang benar.

“Sebab itulah kita di peringkat kerajaan negeri menganjurkan pelbagai bentuk kempen dan ceramah berkenaan vaksin dan program begini akan diteruskan dari masa ke semasa,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Forum Penyakit Cegahan Vaksin di Dewan Tunku Abdul Rahman di sini, semalam.

Turut hadir pada forum itu ialah Pakar Perubatan Kesihatan Awam KPPK (Primer), Dr Suhaila Abdul Shukor; Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah; Pengerusi Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan PINTA, Zahid Mahmood dan Pegawai Hal Ehwal Islam, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Mohd Fahmi Rosli.

Ahmad Shah
Ahmad Shah

Dalam pada itu, Ahmad Shah turut menasihati golongan ibu bapa supaya tidak terlalu taksub terhadap pandangan dikeluarkan golongan antivaksin berhubung suntikan imunisasi anak-anak.

“Ibu bapa perlu rujuk kepada pakar, bukan rujuk pada perbualan di kedai kopi kerana maklumat yang ada pada masyarakat sekarang adalah tidak adil, tidak bersandarkan kepada perkara yang sebenar.

Artikel Berkaitan:

“Kesihatan anak-anak adalah tanggungjawab kita, justeru, ibu bapa perlu datang ke tempat yang sewajarnya untuk merujuk sebarang kemusykilan,” katanya.

Suntikan vaksin diberi secara percuma oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah Program Imunisasi Kebangsaan.

Suntikan itu bermula sejak lahir hingga berusia 21 bulan dan diteruskan pula pada peringkat kanak-kanak iaitu ketika berusia tujuh tahun, 13 tahun dan 15 tahun.