PRU15: Jangan amal 'cah keting' jika tidak tercalon

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA BERANG - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihati ahli Barisan Nasional (BN) supaya tidak terjebak dengan amalan ‘cah keting’ (sabotaj), jika tidak tercalon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Naib Presiden UMNO itu berkata, mereka yang tidak tercalon, harus menerima keputusan parti dengan hati terbuka dan bukannya terlibat dengan amalan ‘cah keting’, kerana perbuatan itu boleh membuatkan BN kecundang walaupun di kubu sendiri.

"Yang kita bimbang ini ‘cah keting’, kita (BN) bukan tak kuat, tetapi adanya kes-kes cah keting kita kecuncang di tempat sendiri. Kalau selama ini boleh berucap berapi-api korban jiwa raga, buktikan 5hb (Nov)(hari penamaan calon) nanti, kalau tak tercalon tetap sokong parti kita yang bertanding,” katanya ketika berucap pada program Himpunan Solidariti dan Kestabilan dan pelancaran Jentera PRU15 BN Terengganu, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, dua perkara yang perlu dipegang untuk memastikan BN memenangi semula negeri Terengganu, iaitu mengelak perpecahan dan jentera perlu bekerja kuat.

Beliau juga berharap BN akan merampas semula kerusi Hulu Terengganu, kerana kerusi tersebut pada asalnya merupakan hak BN tetapi ‘dirompak’ oleh penyandang Parlimen tersebut yang melompat parti.

Kerusi Hulu Terengganu sebelum ini disandang oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid atas tiket UMNO, namun beliau meyertai Bersatu selepas PRU14.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, beliau mengambil keputusan membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU15, kerana berpegang kepada prinsip dan mustahaknya kestabilan dan kemakmuran dalam negara.

Beliau berkata, ketidaksabilan politik sangat dikhuatiri akan menyebabkan ketidakstabilan ekonomi, seterusnya akan memberi kesan kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Kenapa saya bubarkan Parlimen? (kerana) saya dah nampak bibit perpecahan berlaku dalam Kabinet saya, apabila 12 orang menteri tulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong minta Parlimen tidak dibubarkan.

"Mereka ini akur kepada presiden parti mereka, mungkin akan ada lagi arahan lain selepas itu, sebelum mereka petik butang (tarik sokongan), saya petik butang dahulu,” katanya.

Ismail Sabri berkata, menteri-menteri berkenaan boleh menarik sokongan terhadap beliau, sehingga menyebabkan kerajaan tumbang memandangkan parti yang mereka wakili mempunyai bilangan kerusi lebih besar berbanding BN.

"Kita (BN) 42 (kerusi) maknanya kekuatan kita tiada sangat, mereka (PN) boleh tarik ketika itu, jika ada lima pun kerajaan boleh tumbang, maka saya bincang dengan ‘top 5’, kita perlu bubar untuk bentuk kerajaan yang lebih dominan,” katanya. - Bernama