Pindaan Perlembagaan Persekutuan gagal dapat dua pertiga

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usaha kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam perjanjian pembentukan Malaysia pada 1963, gagal mendapat sokongan dua pertiga majoriti undi di Dewan Rakyat malam ini.

Ini selepas Rang Undang-Undang (RUU) itu kekurangan 10 undi untuk memperoleh sokongan majoriti ; 148 undi daripada 222 anggota Parlimen iaitu dua pertiga persetujuan anggota Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof ketika membaca keputusan itu berkata:

"RUU ini tidak boleh diteruskan untuk bacaan kali kedua selepas tidak berjaya mendapat sokongan majoriti dua pertiga anggota (Dewan),” katanya.

Undi belah bahagi yang dijalankan, mendapati seramai 138 anggota parlimen menyokong pindaan, tiada yang menolak dan 59 pula tidak mengundi.

Sebelum itu, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (GPS-PBB Santubong) cuba membawa usul merujuk pindaan itu kepada Jawatankuasa Khas Parlimen bagi dibincangkan dengan lebih lanjut, namun ia ditolak dengan undian suara yang tidak bersetuju mengenai usul itu.

Pindaan itu telah dibahaskan oleh 46 Anggota Parlimen selama tujuh jam selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membentangkannya untuk bacaan kali kedua pada 2.30 petang tadi.

Terdahulu, Dr Mahathir ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan pada 9.40 malam berkata kerajaan tiada halangan berhubung penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata ini kerana kerajaan sedar bahawa tiada Anggota Parlimen yang menganggotai Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan MA63.

"Ini boleh memberikan peluang kepada ahli Jawatankuasa Khas Parlimen untuk mengemukakan laporan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak MA63," katanya. Beliau juga menjelaskan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu tidak perlu dirujuk kepada Majlis Raja-Raja kerana ia tidak secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja.

Dr Mahathir ketika membentangkan pindaan itu untuk kali kedua berkata ia merupakan langkah pertama kerajaan Pakatan Harapan dalam merealisasikan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak. Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. -Bernama