RM2.2 juta untuk pembangunan infrastruktur di MPPD, Jempol

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin (dua, kanan) sebelum mempengerusikan mesyuarat bersama Yang Dipertua Daerah dan Ahli Majlis Perbandaran Seremban (MPS) ketika mengadakan lawatan kerja ke Bangunan MPS yang baharu, hari ini. - Foto Bernama
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin (dua, kanan) sebelum mempengerusikan mesyuarat bersama Yang Dipertua Daerah dan Ahli Majlis Perbandaran Seremban (MPS) ketika mengadakan lawatan kerja ke Bangunan MPS yang baharu, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini meluluskan peruntukan RM2.2 juta untuk pembangunan insfrastruktur dan mengatasi masalah banjir kilat di kawasan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Jempol.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, jumlah tersebut diberikan selepas mengambil kira dan meneliti masalah utama yang perlu diambil perhatian oleh pihaknya.

"Hari ini, kunjungan saya di Negeri Sembilan melibatkan pertemuan bersama kesemua lapan Yang Dipetua (YDP) mendengar isu melibatkan perumahan dan pengurusan sisa pepejal namun kita ambil kira keutamaan di MPPD dan Jempol.

"Di Bahau, (Jempol) kita luluskan RM1.2 juta untuk Bahau Walk dan RM500,000 untuk mengatasi masalah banjir di Pekan Bahau.

"Manakala RM500,000 lagi untuk pembinaan fasiliti melibatkan tandas awam, tempat mandi dan mungkin juga gerai di Batu 5, Port Dickson.

"Ini bagi memberi kemudahan yang lebih selesa kepada pelancong terutamanya di Batu 5, Port Dickson dan sekali gus dapat merancakkan ekonomi di kawasan pelancongan tersebut," katanya selepas selesai rangka lawatan di Majlis Perbandaran Seremban, petang tadi.

Hadir sama, Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, Teo Kok Seong.

Dalam masa sama, Zuraida turut menekankan bahawa YDP perlu lebih berdaya membangunkan ekonomi kawasan masing masing.

Artikel Berkaitan:

"Negeri ini mempunyai lokasi menarik sepertimana gunungnya, pantai untuk kunjungan pelancong. Ia mampu meningkatkan pendapatan penduduk," katanya.

Sementara itu, Zuraida turut menyatakan, perkara lain yang diajukan dalam perbincangan berkenaan akan dibuat secara bertulis dan lebih terperinci seterusnya dipertimbangkan kementerian.