Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS

No Image Caption
A
A
A

RINGGIT ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS hari ini, seiring dengan mata wang yang memiliki kaitan dengan komoditi, selepas disokong oleh harga minyak mentah yang lebih baik.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan itu telah didagangkan pada 4.0920/0960 berbanding dolar AS daripada 4.0950/0000 yang direkodkan semasa ditutup semalam.

Ketua Global untuk Penyelidikan Pasaran, Strategi dan Mata Wang FXTM, Jameel Ahmad berkata ringgit turun kembali di bawah paras psikologi 4.10 berbanding dolar AS selepas ringgit meraih kekuatan, sejajar dengan kebanyakan mata wang serantau.

"Paras tertinggi baharu harga minyak dari tahun ke tarikh tidak memberi kesan ke atas prestasi ringgit, memandangkan dolar AS terus memacu naratif bagi mata wang negara-negara Asia," katanya.

Penanda aras minyak mentah Brent telah diniagakan pada harga AS$71.1 setong hari ini.

Jameel percaya bahawa pasaran akan kekal memantau beberapa faktor global seperti rundingan perdagangan AS-China, ancaman tarif Presiden Donald Trump dan kelembapan ekonomi dunia, yang akan menentukan arah pergerakan seterusnya bagi aset-aset Asia yang mempunyai pendedahan kepada risiko sentimen yang lebih luas.

Secara keseluruhannya, ringgit diniagakan lebih lemah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Itu menyusut berbanding pound British kepada 5.3556/3625 daripada 5.3485/3562 dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.6772/6818 daripada 3.6750/6804 yang direkodkan semalam.

Artikel Berkaitan:

Ia juga menyusut berbanding euro kepada 4.6125/6191 daripada 4.6024/6084 dan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.0246/0280 daripada 3.0197/0245.- Bernama