[VIDEO] 52 PATI pandu lori, forklift tanpa lesen ditahan

Antara PATI yang ditahan kerana memandu tanpa lesen dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. (Gambar kecil: Zulkifly)
Antara PATI yang ditahan kerana memandu tanpa lesen dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. (Gambar kecil: Zulkifly)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mengambil upah sekitar RM50 ke RM100, pendatang asing tanpa izin (PATI) berani bekerja sebagai pemandu lori dan pengendali forklift di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur walaupun tiada lesen memandu.

Malah, beberapa PATI yang ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dalam Op Pemandu Warga Asing (Op Pewa) di pasar berkenaan mengaku telah beberapa tahun menjadi pemandu lori menghantar barang dagangan di sekitar ibu negara.

Seorang pemandu lori ais warga Bangladesh berusia 24 tahun berkata, dia sudah bekerja sebagai pemandu lori sejak enam tahun lalu.

"Saya dapat gaji RM70 sehari untuk hantar barang ke beberapa pasar borong di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

"Sepanjang enam tahun bekerja, saya pernah beberapa kali disaman kerana tidak mempunyai lesen (memandu),” katanya ketika ditemui di lokasi operasi pada Khamis.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Zulkifly Ismail berkata, pihaknya mengeluarkan 239 notis atas pelbagai kesalahan dalam Op Pewa yang dijalankan sekitar dua jam di sini.

Antara pengendali forklift yang ditahan dalam Op Pewa pada Khamis.
Antara pengendali forklift yang ditahan dalam Op Pewa pada Khamis.

"Saman termasuk bagi kesalahan tiada lesen memandu, tiada lesen kenderaan barangan, insurans tamat tempoh dan lain-lain kesalahan.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga menyita 58 kenderaan membabitkan lapan lori, 12 van, 25 motosikal, enam forklift dan tujuh motosikal roda tiga dalam operasi itu,” ujarnya.

Zulkifly berkata, Jabatan Imigresen Malaysia turut menahan 52 PATI membabitkan 16 warga Bangladesh, 28 Myanmar, enam Indonesia dan dua dari India.

"Semua warga asing yang ditahan berusia antara 30-an hingga 50-an itu didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah,” jelasnya

Beliau berkata, pelaksanaan Op Pewa sebelum ini hanya memberi fokus kepada motosikal yang diubahsuai namun kali ini JPJ turut memberi penekanan kepada pemandu serta pemilik forklift dan lori tanpa lesen sah yang menyalahgunakan kenderaan berkenaan.

"Justeru, pemilik kenderaan dinasihatkan supaya tidak membenarkan warga asing menggunakan kenderaan sekiranya mereka tidak mempunyai lesen dan dokumen perjalanan diri yang sah,” tegas beliau.