SWCorp ambil tindakan atasi pencemaran bau

Mohd Zahir (dua, kiri) membincangkan isu pencemaran bau di longkang dan tapak pembuangan sampah haram yang berlaku di Jalan Mas 1, Kuala Lumpur hari ini. - FOTO: SWCorp
Mohd Zahir (dua, kiri) membincangkan isu pencemaran bau di longkang dan tapak pembuangan sampah haram yang berlaku di Jalan Mas 1, Kuala Lumpur hari ini. - FOTO: SWCorp
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hasil aduan orang ramai, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan mengambil langkah segera bagi menyelesaikan isu pencemaran bau di longkang dan tapak pembuangan sampah haram yang berlaku di Jalan Mas 1.

Menerusi kemas kini di laman Facebook rasminya, SWCorp memaklumkan bahawa satu lawatan tapak telah dilakukan di lokasi berkenaan bagi mencari penyelesaian terhadap isu tersebut.

Difahamkan, lawatan tapak tersebut turut disertai oleh Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan, Mohd Zahir Shari bersama kakitangan Alam Flora Sdn Bhd serta wakil penduduk di kawasan berkenaan.

Menerusi tinjauan tersebut, SWCorp turut mengenal pasti saluran haram ke longkang perumahan penduduk yang dibina oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mengalirkan air larut resapan (leachate) dari tapak sampah haram tersebut ke sungai berhampiran.

Sehubungan itu, SWCorp mengambil tindakan untuk memanjangkan perkara itu kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi-agensi berkaitan bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil secara bersama.

Dalam pada itu, mana-mana pihak yang melanggar peraturan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 71 Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000, atau dipenjara selama tempoh tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan: