Kemalangan bas di Sepang: Polis siasat semua sudut

Kerja-kerja pengalihan bas pekerja yang terbabit dalam kemalangan di Jalan S8 Pekeliling di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dilakukan semalam. -Foto Bernama
Kerja-kerja pengalihan bas pekerja yang terbabit dalam kemalangan di Jalan S8 Pekeliling di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dilakukan semalam. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Siasatan polis bagi mencari punca kemalangan bas pekerja terjunam ke dalam longkang besar di Jalan S8 Pekeliling berhampiran kawasan Kompleks MASkargo, Sepang yang menyebabkan 12 maut akan melibatkan pelbagai sudut, kata Ketua Polis Daerah KLIA Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah.

"Selain rakaman percakapan mangsa atau saksi kejadian, polis akan turut melakukan siasatan dari aspek teknikal dan keadaan bas,” katanya ketika dihubungi hari ini berhubung perkembangan kes berkenaan.

Dalam kejadian 11.10 minit malam Ahad, seorang pemandu bas warga tempatan dan lapan pekerja warga asing maut di tempat kejadian apabila sebuah bas kilang yang membawa 44 orang termasuk pemandu terjunam sedalam empat meter ke dalam longkang besar berhampiran Kompleks MASKargo.

Dua lagi pekerja meninggal dunia di Hospital Putrajaya dan seorang lagi di Hospital Serdang.

Kesemua pekerja yang terkorban dalam kemalangan itu bernaung di bawah syarikat pembekal tenaga kerja, Mutiara Kayamas Sdn Bhd. Zulkifli berkata enam mangsa sudah memberikan keterangan pada Isnin di mana dua daripadanya memberikan keterangan di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA dan empat lagi diambil keterangan di hospital.

ARTIKEL BERKAITAN: Nahas bas: 11 mayat belum dituntut

Beliau berkata lapan lagi mangsa dijadualkan memberi keterangan di Cawangan Trafik IPD KLIA hari ini.

"Turut akan diteliti ialah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran lokasi kemalangan sekiranya ada," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata setakat ini hanya mayat pemandu bas iaitu mendiang S.Suresh yang sudah dituntut keluarga di Hospital Serdang pada Isnin. -Bernama