Sanggup ugut bunuh ibu kerana tak dapat wang

Nor Azmi (tengah) menunjukkan barang rampasan pada sidang media di IPD Sabak Bernam.
Nor Azmi (tengah) menunjukkan barang rampasan pada sidang media di IPD Sabak Bernam.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Seorang anak hilang pertimbangan apabila tergamak mengugut mahu membunuh ibunya semata-mata kerana tidak mendapat wang dalam kejadian di Kampung Baru Nelayan, Sungai Besar, si sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, suspek juga cuba menakutkan ahli keluarga lain dengan menggunakan pisau dan sabit.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, suspek sebelum itu meminta duit daripada ibunya yang berusia 54 tahun.

"Suspek dikatakan berang apabila permintaannya membeli dadah tidak diendahkan wanita terbabit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, di sini, hari ini.

Nor Azmi berkata, suspek yang berang apabila permintaannya itu tidak ditunaikan kemudian bertindak mengacu pisau dan sabit ke arah mangsa sambil mengugut mahu membunuhnya.

"Bagaimanapun, suspek melarikan diri dan dipercayai melepaskan gian di sebuah kawasan penagihan," katanya.

Beliau berkata, ibu suspek yang bimbang diugut anak sendiri kemudiannya tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, mangsa memaklumkan suspek pernah ditahan atas kes sama dan dibebaskan minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

"Polis menahan suspek di rumahnya pada jam 11.15 pagi hari sama.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya.