Nelayan asing menyamar dicekup Maritim

Bot milik nelayan asing yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan dibawa ke Jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut.
Bot milik nelayan asing yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan dibawa ke Jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Taktik tujuh nelayan Vietnam yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa tidak menjadi apabila mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu, kelmarin.

Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, bot yang menceroboh perairan negara itu berjaya ditahan dalam rondaan Ops Iman di lokasi 32.5 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, kira-kira jam 8 malam.

"Seramai tujuh awak-awak termasuk seorang tekong berusia antara 28 hingga 51 tahun ditahan dan bot ditunda ke Jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut.

"Kita juga berjaya merampas hasil tangkapan laut, minyak diesel, bot dan peralatan menangkap ikan bernilai keseluruhan hampir RM1 juta," katanya dalam satu siaran media dikeluarkan hari ini.

Jelasnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen Akta Perikanan 1985 kerana disyaki memalsukan dokumen bot dan juga melanggar syarat-syarat lesen.

Selain itu, Muhammad Suffi berkata, pada tahun ini sehingga April, Maritim Terengganu berjaya membuat sebanyak 21 tangkapan.

"Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran.

"Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang Maritim.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, kerjasama daripada masyarakat terutama nelayan tempatan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357(Pusat Operasi) Maritim Terengganu," katanya.