Statut Rom: Ahli akademik harus tampil jelas rasional kajian

Anwar Ibrahim - Foto Sinar Harian Sharifudin Abdul Rahim
Anwar Ibrahim - Foto Sinar Harian Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A

KUALA LUMPUR – Empat ahli akademik yang membentangkan kertas kerja berhubung kebaikan dan keburukan Statut Rom untuk pertimbangan Majlis Raja-Raja, harus tampil menjelaskan rasional kajian mereka.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara ini penting supaya polemik ketegangan ini dapat diredakan.

Menurutnya, penjelasan tersebut perlu dilakukan dalam wacana yang sihat bagi membolehkan empat ahli akademik dari tiga institusi pengajian tinggi (IPT) itu menjawab segala isu yang dibangkitkan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau yakin penyelesaian terbaik boleh dicapai menerusi perbincangan walaupun kajian itu mengundang kemelut beberapa pihak selepas didedahkan oleh sekumpulan aktivis muda di Facebook.

“Kena ada wacana yang sihat, ada sesi soal jawab dan beri penjelasan. Tak apa, biar selesai dan bincang baik-baik,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Statut Rom: Kedudukan empat ahli akademik akan dibincangkan

Kelmarin, Ketua Gabungan Pembebasan Akademik IPT, Asheeq Ali Sethi Alivi mendedahkan mengenai rumusan eksekutif Statut Rom yang dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja pada 2 April lalu.

Asheeq Ali dan lapan rakannya mempersoalkan mengapa kajian itu dijalankan secara sulit tanpa diketahui oleh masyarakat selain mendakwa hujah-hujah rumusan itu bersifat berat sebelah kerana hanya mempersoalkan sebab Majlis Raja-Raja perlu menolak perjanjian antarabangsa itu.

Artikel Berkaitan:

Rumusan itu dilakukan oleh Dekan Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad dan Pakar Perlembagaan Persekutuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz.

Selain itu, dua pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Fareed Mohd. Hassan dan Hisham Hanapi turut terlibat dalam kajian tersebut.