Kota Warisan perlu sekolah dibawa ke KPM

Buat masa ini hanya Sekolah Kebangsaan Kota Warisan yang terdapat di kawasan itu dan dianggarkan mempunyai kepadatan penduduk sekitar 50,000 orang.
Buat masa ini hanya Sekolah Kebangsaan Kota Warisan yang terdapat di kawasan itu dan dianggarkan mempunyai kepadatan penduduk sekitar 50,000 orang.
A
A
A

SHAH ALAM - Isu ketiadaan sekolah menengah di kawasan Kota Warisan telah dibawa ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membolehkan ia dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia ke 12 (RMK12) bagi tempoh tahun 2020-2024.

ADUN Dengkil, Adhif Syan Abdullah berkata, sebelum ini pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Ketua Setiausaha KPM berhubung permasalahan itu berikutan keperluan sekolah di kawasan berkenaan begitu mendesak khususnya buat penduduk setempat.

Beliau berkata, walaupun tapak sekolah berkenaan telah digazetkan, namun projek pembinaan tersebut tidak dapat dilaksanakan berikutan ia tidak disenaraikan dalam RMK11 sebelum ini.

"Jadi saya sendiri telah mengadakan perbincangan dengan KPM berhubung permasalahan ini bagi membolehkan projek pembinaan tersebut dapat diteruskan selepas ini.

"Selain itu, saya juga telah mengangkat permasalahan ini ke Sidang DUN supaya kerajaan negeri dapat membantu dalam mencari penyelesaian terhadap perkara ini," katanya selepas mengikuti Majlis Pelepasan Peringkat Keempat Le Tour De Langkawi Tahun 2019 yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, hari ini.

Adhif
Adhif

Sebelum ini, laporan Sinar Harian mendedahkan mengenai rungutan penduduk di Kota Warisan yang merasa resah dengan ketiadaan sekolah menengah di kawasan itu sehingga menyebabkan mereka terpaksa menghantar anak ke sekolah yang lebih jauh.

Difahamkan, buat masa ini hanya Sekolah Kebangsaan Kota Warisan yang terdapat di kawasan itu dan dianggarkan mempunyai kepadatan penduduk sekitar 50,000 orang.

Artikel Berkaitan:

Walaupun terdapat lokasi tapak yang digazetkan sebelum ini untuk pembinaan sekolah di kawasan berkenaan, namun projek tersebut masih belum dimulakan sehingga kini.

Adhif berkata, beliau sememangnya memahami kesukaran yang dihadapi oleh ibu bapa di kawasan berkenaan berikutan mereka perlu keluar jauh bagi menghantar anak-anak ke sekolah pada setiap hari.

"Kita faham banyak ibu bapa di sini menghantar anak mereka ke Sekolah Menengah Bandar Bahru Salak Tinggi buat masa ini yang lokasinya jauh sedikit dari kawasan Kota Warisan.

"Dan permasalahan sekolah ini menjadi antara agenda yang akan diperjuangkan oleh saya demi kemudahan penduduk setempat," katanya.

Tambahnya, setiap pihak diminta bersabar buat sementara waktu bagi membolehkan pihak bertanggungjawab dapat mencari penyelesaian terbaik terhadap permasalahan ini.

ARTIKEL BERKAITAN Sekolah tak cukup di Selangor!