Lima rumah dilanda ribut di Bagan Serai

Ahmad Saqif (dua, kiri) meninjau keadaan bumbung rumah salah seorang mangsa di Kampung Sungai Baru, Selinsing yang terjejas teruk diterbangkan ribut lewat petang semalam.
Ahmad Saqif (dua, kiri) meninjau keadaan bumbung rumah salah seorang mangsa di Kampung Sungai Baru, Selinsing yang terjejas teruk diterbangkan ribut lewat petang semalam.
A
A
A

SELINSING - Kejadian ribut kembali melanda Bagan Serai untuk kali kedua dalam tempoh seminggu apabila lima rumah dikenal pasti terjejas termasuk dua rosak teruk di Kampung Sungai Baru, petang semalam.

Penyelaras DUN Selinsing, Ahmad Saqif Ansorullah Ahmad Jihbadz Mokhlis berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 5 petang melibatkan rumah penduduk dari Kampung Sungai Baru, Kampung Selinsing, Kampung Tebuk Haji Dollah dan Kampung Parit 3 di sini.

Menurutnya, sebanyak dua rumah di Kampung Sungai Baru, di sini dikenal pasti terjejas teruk di bahagian bumbung rumah, manakala sebatang pokok setinggi 10 meter turut tumbang dan merintangi jalan di Kampung Parit 2, semalam.

"Berdasarkan penceritaan mangsa, sewaktu kejadian berlaku semua dipercayai berada di rumah masing-masing dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Cuma ketika kejadian, mangsa cemas ketika menyelamatkan peralatan rumah daripada dibasahi hujan.

"Susulan kejadian itu, saya bersama penghulu Mukim Selinsing segera mengadakan lawatan ke rumah setiap mangsa terlibat dan menghubungi agensi kerajaan berkaitan bagi mendapatkan bantuan segera," katanya kepada media di sini, hari ini.

Ahmad Saqif berkata, pihaknya sudah merujuk perkara itu dengan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan Serai dan pusat itu akan menyalurkan bantuan bencana segera bagi membaik pulih rumah mangsa secepat mungkin.

Menurutnya, pihaknya turut dimaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kerian melalui Pejabat Daerah dan Tanah Kerian akan menyalurkan sumbangan Tabung Pengurusan Bencana daerah kepada kesemua mangsa terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Inisiatif pantas ini membuktikan keprihatinan kerajaan PH terhadap kebajikan rakyat dan kami akan meneruskan kesinambungan ini bagi memastikan lebih ramai nasib rakyat memerlukan terbela," katanya.