'Kehilangan Ashraf tiada unsur khianat'

A
A
A

IPOH - Polis Perak mengesahkan kehilangan Muhammad Ashraf Hassan, 29, atau Acap di Gopeng sejak 23 Mac lalu tiada sebarang unsur khianat.

Ketuanya, Datuk Razarudin Husain berkata, semakan dibuat ke atas akaun bank, kereta dan telefon bimbit mendapati tiada sebarang unsur mencurigakan.

Beliau berkata, kertas siasatan yang dibuka pihaknya berkaitan kes kehilangan tersebut juga hampir lengkap dan fokus kini tertumpu kepada usaha-usaha mencari.

"Daripada siasatan, kita lihat memang tiada unsur khianat berdasarkan telefon, akaun bank, pergerakan kereta yang masih lagi tidak terusik. Jadi kita percaya kalau ada unsur khianat mungkin berubah sedikit.

"Kita juga ada temubual saksi-saksi iaitu rakan yang membuat laporan polis dan tiada masalah luaran dengan mana-mana orang," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian program Derma Darah Sempena Sambutan Hari Polis ke-212 di Pasar raya Besar Mydin Meru Raya, di sini.

Hadir sama pada perasmian itu, Pakar Perubatan Transfusi Hospital Raja Permaisuri Bainun, Dr Irni Mohd Yasin dan pegawai-pegawai kanan Polis Perak

Menurut Razarudin, sehingga kini, lebih dari tujuh saksi terdiri daripada ahli keluarga, penganjur dan rakan telah diambil keterangan untuk membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Razarudin berkata, pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak akan membantu meneruskan pencarian Mohammad Ashraf.

Katanya, pencarian oleh pasukan IPK itu mungkin akan tertumpu ke kawasan baharu yang belum dibuat pencarian sebelum ini.

"Kita buat dalam skala kecil tetapi cuba cari di tempat yang lain pula. Kekuatan anggota hanya akan diketahui Sabtu ini. Kita akan tengok di mana kita akan cari.

"Sebelum ini memang ada pencarian melibatkan orang kampung dan pelbagai agensi tetapi masih tak jumpa," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan pihak polis tidak pernah menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak tentang kehilangan tersebut.

Katanya, pihak polis masih menyiasat kejadian itu dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi.

"Nasihat saya perkara ini masih dalam siasatan polis. kita tidak mahu mana-mana individu buat viral yang tidak disertakan dengan fakta-fakta tidak betul dan bukti-bukti tertentu ini juga akan gores hati keluarga Ashraf," katanya.