Hisbah desak SPRM, PDRM siasat salah laku TH

Datuk Mohamad Ezam Nor
Datuk Mohamad Ezam Nor
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Hisbah Centre for Reform (Hisbah), Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor mendesak pihak berkuasa segera menyiasat dakwaan dan salah laku dalam pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) yang terdahulu.

Mohamad Ezam berkata, Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jabatan Audit Negara perlu bertindak secara tuntas memburu mereka yang terlibat.

"Sesiapa yang mengikuti perkembangan TH sejak beberapa tahun lalu terutamanya pelantikan pengerusi dalam kalangan ahli politik pasti melihat dengan jelas kecurangan, khianat, penipuan, manipulasi yang amat berleluasa.

"Justeru, penjenayah ini harus dibawa ke muka pengadilan memandangkan sudah saban tahun kepincangan berlaku tanpa sebarang tindakan daripada pihak pentadbiran negara khususnya Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal TH pada tempoh berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Ezam, semasa bertugas di Kementerian Kewangan, ramai pihak melahirkan keresahan dan memohon supaya isu berkenaan dibawa kepada Menteri Kewangan bagi menyelamatkan TH.

"Kesalahan yang mereka lakukan merupakan jenayah besar kerana melibatkan perbuatan khianat dan curang kepada harta milik awam.

"Sehubungan itu, pada hari ini Hisbah ingin mengingatkan semua pihak adalah menjadi kewajipan dan keutamaan kita untuk membawa penjenayah terlibat ke muka pengadilan tanpa kompromi," tegasnya.

Pada masa sama, Hisbah juga menggesa menteri bertanggungjawab di bawah pentadbiran baharu mengambil langkah proaktif dalam menangani isu kepincangan termasuk memberi penjelasan kepada umum secara sistematik dan tersusun.

Artikel Berkaitan:

"Seperti ungkapan yang berbunyi, 'kebatilan yang tersusun boleh mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun'," jelasnya.