Ujian MUET diteruskan sebagai prasyarat ke IPT

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) akan diteruskan sebagai prasyarat kepada pelajar yang memohon kemasukan ke institusi pengajian tinggi tempatan bagi mengikuti pengajian ijazah pertama.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, ia sejajar dengan tujuan MUET yang diperkenalkan pada 1999 iaitu bagi mengisi jurang pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua pada peringkat prauniversiti serta memperkukuh dan mempertingkat kebolehan bahasa Inggeris pelajar.

“Tambahan pula, MUET telah disejajarkan dengan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) dan telah diterima pakai sebagai syarat kemasukan oleh beberapa universiti luar negara...sama kedudukannya dengan ujian International English Language Testing System (IELTS) dan Test of English as a Foreign Language (TOEFL),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) yang ingin tahu status peperiksaan Bahasa Inggeris MUET sama ada akan dikaji semula atau diteruskan.

Menjawab soalan tambahan Shabudin mengenai universiti awam yang mensyaratkan tahap-tahap tertentu bagi MUET sehingga menyebabkan ada pelajar cemerlang tidak layak memohon kursus diinginkan, Teo berkata Senat Universiti mempunyai autonomi penetapan syarat minimum kursus-kursus tertentu.

“Ada universiti yang menetapkan syarat minimum MUET pada tahap 4, 5 dan 6. Ini memang berlaku kerana memang ada keperluan dan kebanyakan bahan rujukan adalah dalam bahasa Inggeris dan kursus dijalankan dalam bahasa Inggeris,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: