X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Tiga hari mayat atas bumbung rumah

Keadaan mayat mangsa yang sudah diturunkan dari bumbung rumahnya di Jalan Pantai Kual Kurau yang berketinggian 10 kaki pagi tadi. (Gambar kecil: Lim Siew Kiang)
A
A

KUALA KURAU - Misteri bau busuk dari atas bumbung rumah seorang penduduk di Jalan Pantai Kuala Kurau, di sini sejak semalam membawa kepada penemuan satu mayat pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, mangsa, Lim Siew Kiang,62, yang berasal dari Jalan Pantai, di sini ditemui penduduk pada jam 10.30 pagi tadi.

Menurutnya, mayat itu dipercayai sudah membusuk dan ditemui dalam keadaan meniarap di atas bumbung rumahnya sendiri.

"Sejak semalam, penduduk berhampiran terhidu bau busuk dari arah rumah mangsa dan beberapa individu mula meninjau keadaan sekeliling rumah itu untuk mengetahui punca bau busuk itu.

"Sedang mereka meninjau, salah seorang penduduk terkejut menyedari satu tangan manusia terjuntai dari celah-celah bumbung rumah itu.

"Mayat terbabit dipercayai terbiar di atas bumbung rumah itu sejak tiga hari lalu," katanya kepada media di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, mayat mangsa kini dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Anggota bomba BBP Kuala Kurau sedang berusaha menurunkan mayat mangsa dari bumbung rumahnya dengan menggunakan alat pengusung di Jalan Pantai Kuala Kurau, pagi tadi.
Anggota bomba BBP Kuala Kurau sedang berusaha menurunkan mayat mangsa dari bumbung rumahnya dengan menggunakan alat pengusung di Jalan Pantai Kuala Kurau, pagi tadi.

Sementara itu Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kurau, PBK I Mohd Hisham Osman berkata, seramai sembilan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 10.30 pagi.

Menurutnya, pihaknya menggunakan tangga bersama alat pengusung untuk menurunkan mayat mangsa dari bumbung dengan ketinggian sepuluh kaki.

"Berdasarkan maklumat, mangsa tinggal berseorangan di rumah tersebut dan dipercayai cuba membaiki bumbung rumah bocor.

"Pihak kami kemudiannya menyerahkan mayat mangsa kepada polis untuk tindakan seterusnya," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!