Pilihan raya Israel tentukan nasib Netanyahu

Rakyat Israel bakal tentukan nasib Perdana Menteri Benjamin Netanyahu. - Foto AFP
Rakyat Israel bakal tentukan nasib Perdana Menteri Benjamin Netanyahu. - Foto AFP
A
A
A

BAITULMAQDIS - PALESTIN . Rakyat Israel hari ini keluar mengundi dalam pilihan raya yang bakal menentukan masa depan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Pilihan raya kali ini menyaksikan persaingan sengit antara Netanyahu dan pencabar terdekatnya Benny Gantz, seorang bekas panglima tentera yang menjanjikan pembaharuan buat rakyat Israel.

Gantz, 59, turut berjanji memperbaiki 'kemusnahan' yang dilakukan Netanyahu terhadap Israel menerusi politik yang berpecah belah.

Terdahulu, Netanyahu dengan angkuh berikrar akan merampas Kawasan C di Tebing Barat jika beliau memenangi pilihan raya, ia dilihat sebagai langkah terdesak pemimpin berusia 69 tahun itu untuk meraih sokongan pengundi haluan kanan yang tidak percaya dengan perjanjian damai bersama Palestin.

Peluasan 'kedaulatan' Israel dalam skala besar di Tebing Barat dilihat boleh mematikan usaha penyelesaian dua negara untuk menyelesaikan konflik Palestin-Israel.

Bangga dengan persahabatan akrab yang dimiliki bersama sekutu utamanya, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Netanyahu memuji tindakan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan Bukit Golan sebagai milik rejim Israel.

Sementara itu, Gantz yang bergabung dengan dua bekas pemimpin tentera dan bekas menteri kewangan Yair Lapid bagi membentuk pakatan Biru-Putih, bertindak menggunakan tuduhan rasuah yang dikenakan terhadap Netanyahu sebagai asas untuk menuntut rakyat Israel agar membuat perubahan segera.

"Terdapat keperluan untuk perubahan dan peluang untuk berubah," kata Gantz sambil menyatakan pendirian beliau yang menentang sebarang usaha unilateral berhubung isu penempatan di Tebing Barat.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, undian pendapat memberikan Parti Likud pimpinan Netanyahu dan pakatan Biru-Putih jumlah kerusi yang sama dalam Parlimen yang memilik 120 kerusi.

Menurut undian tersebut, kedua-dua pihak dilihat akan gagal mendapat majoriti dan terpaksa membentuk pakatan.

Sekiranya Netanyahu memenangi pilihan raya ini, beliau bakal mengatasi David Ben-Gurion sebagai perdana menteri Israel yang paling lama berkhidmat.

Diberi gelaran 'King Bibi' Netanyahu telah menyandang jawatan perdana menteri selama lebih 13 tahun.- AFP