Akhbar dakwa MB Johor didesak letak jawatan

Osman Sapian
Osman Sapian
A
A
A

SHAH ALAM - Akhbar News Straits Times (NST) hari ini mendakwa Datuk Osman Sapian didesak melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Johor selepas terpalit dengan beberapa kontroversi sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati beberapa pihak termasuk pihak istana.

Akhbar berkenaan memetik satu sumber sebagai berkata, kontroversi itu timbul selepas Osman dikatakan gagal menangani krisis pencemaran Sungai Kim Kim bulan lalu hingga mengakibatkan 5,848 penduduk Pasir Gudang terpaksa mendapatkan rawatan selepas menyedut udara beracun.

Bukan itu sahaja, prestasi Menteri Besar itu juga telah diteliti sejak beberapa bulan lalu namun sehingga kini beliau dilihat masih gagal membentangkan pelan tindakan ekonomi negeri itu.

"Sultan tidak berpuas hati kerana sehingga kini Osman belum lagi mengemukakan pelan tindakan ekonomi negeri Johor, negeri ini diperintah seperti tiada arah dan tindakan beliau melawat Batam, Indonesia ketika krisis Sungai Kim Kim berlaku bulan lalu adalah kemuncak segala-galanya.

"Beliau dilihat seperti tidak bertanggungjawab kerana tidak mengumumkan sebarang peruntukan sebaliknya Sultan pula yang mengumumkan peruntukan RM1 juta. Insiden ini menyebabkan beliau hilang kepercayaan pihak istana," dakwa sumber itu.

Susulan krisis itu, seramai 120 penduduk di Pasir Gudang mengambil tindakan saman terhadap kerajaan negeri, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan kilang-kilang kerana kecuaian dalam menangani kes pencemaran berkenaan.

Semalam, Osman mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Pertemuan itu difahamkan berlangsung selama kira-kira 30 minit mulai jam 5.45 petang.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan Osman memasuki pekarangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada jam 3 petang.

Bagaimanapun, usaha wakil media yang menunggu di laluan pintu masuk utama JPM untuk mendapatkan komen Osman tidak berhasil apabila beliau dilaporkan keluar melalui laluan lain.

Sementara itu, memetik NST juga melaporkan, jika Osman melepaskan jawatan, beberapa nama lain sudah tersenarai untuk menggantikannya iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kemanusiaan, Alam Sekitar dan Pertanian, Dr Sahruddin Jamal, 44, yang juga ADUN Bukit Kepong (Bersatu) dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan, Mohd Khuzzan Abu Bakar, 51, yang merupakan ADUN Semerah (PKR).

Nama yang turut disebut sejak November lalu untuk menggantikannya ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa daripada Bersatu.

Parti-parti PH memegang majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri Johor iaitu 39 kerusi berbanding BN (16) dan Pas (1).

Pecahan 39 kerusi PH itu menyaksikan DAP mempunyai 14 kerusi diikuti Bersatu (11), Amanah (9) dan PKR (5).