Doakan impian dua pemuda, seorang budak Syria di kem pelarian tercapai

Dua beradik dari wilayah Al-Raqqah iaitu Majid Omar el Musa, 20, dan abangnya Muhamed Omar, 23, yang membuktikan bahawa mereka mampu menjalankan perniagaan kedai runcit sendiri di kem pelarian sekitar wilayah Beqaa di Lubnan. - Foto Bernama
Dua beradik dari wilayah Al-Raqqah iaitu Majid Omar el Musa, 20, dan abangnya Muhamed Omar, 23, yang membuktikan bahawa mereka mampu menjalankan perniagaan kedai runcit sendiri di kem pelarian sekitar wilayah Beqaa di Lubnan. - Foto Bernama
A
A
A

LEMBAH BEQAA (Lubnan) - Di sebalik kesengsaraan hidup di kem pelarian sekitar wilayah Beqaa di Lubnan yang menempatkan 12,000 pelarian, terpampang kisah yang tidak pernah dipaparkan sebelum ini mengenai dua pemuda dan seorang budak lelaki Syria yang menaruh impian tinggi mengecap kejayaan seperti orang lain.

Kisah pertama ialah mengenai dua beradik dari wilayah Al-Raqqah iaitu Majid Omar el Musa, 20, dan abangnya Muhamed Omar, 23, yang membuktikan bahawa mereka mampu menjalankan perniagaan kedai runcit sendiri di kem tersebut.

Majid Omar berkata walaupun kedua-dua mereka hidup dalam kemiskinan di kem pelarian Mousa, ia tidak menghalang mereka untuk membuka kedai runcit secara kecilan pada awalnya bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup keluarga mereka dan juga membantu pelarian lain di kem itu.

"Abang saya dan saya membuka kedai ini lima tahun lalu hasil wang simpanan yang kami bawa ketika melarikan diri dari Syria, dan akhirnya kami berjaya menguruskan perniagaan ini dengan baik dengan tujuan murni untuk menyara kehidupan keluarga.

"Walaupun kami berdua hidup serba kekurangan tetapi melalui perniagaan kecil ini, kami masih dapat membantu rakan-rakan kami di kem pelarian kerana kami berdua menyimpan cita-cita untuk mengembangkan perniagaan dan seterusnya menjadi peniaga yang berjaya," kata beliau kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Kedua-dua mereka sedang menunggu pelanggan di kaunter ketika 13 wakil dari Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) tiba di kem tersebut untuk menghantar bekalan daging kambing, mpek makanan, kain selimut dan minyak masak kepada 112 keluarga di sana.

Muhamed Omar berkata kedai runcit mereka menjual barang keperluan harian pada harga lebih rendah kepada pelarian di kem itu kerana mereka memahami bahawa kebanyakan mereka tidak dapat bekerja manakala ada yang menjadi pengemis di Lubnan.

"Kami menjual barangan keperluan seperti beras dan minyak pada harga yang sangat rendah kepada pelarian di kem tersebut kerana kami memahami keadaan mereka tetapi kepada penduduk tempatan yang ingin membeli barang di kedai kami, kami menjualnya mengikut harga biasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Walaupun keuntungan perniagaan mereka agak sederhana, mereka berdua masih menghantar sejumlah kecil wang saku setiap bulan kepada ibu bapa mereka yang tinggal di Kem Herman dekat sempadan Syria dan Lubnan.

"Kami selalu mengirim wang kepada ibu bapa kami walaupun kami tinggal berasingan, dan kami berdua ingin kembali ke Syria untuk bersama mereka.. dan kami juga sering meminta restu dari ibu bapa kami supaya kami boleh menjadi peniaga yang berjaya dan membuatkan mereka bangga, " kata Muhamed Omar.

Satu lagi kisah ialah mengenai seorang budak lelaki berusia 12 tahun, Marwan Khalid, 12 tahun, yang datang ke sekolah setiap hari walaupun kaki kirinya dipotong akibat letupan bom yang berlaku berhampiran rumahnya di Homs, Syria empat tahun lalu.

Marwan tinggal di kem pelarian Zairuti di wilayah Beqaa di bahagian tengah Lubnan bersama ibu bapanya dan dua adik beradiknya, dan ketika ini dia belajar di Sekolah Kayyan yang terletak dekat kem pelarian itu.

Dia bercita-cita untuk menjadi pendandan rambut profesional di peringkat antarabangsa walaupun dia tergolong dari orang kurang upaya (OKU) dan pelarian.

"Saya mahu menjadi pendandan rambut profesional apabila saya besar nanti, dan saya tidak peduli dengan status saya sebagai orang kurang upaya kerana keluarga saya memberitahu bahawa saya boleh menjadi apa sahaja jika saya mahu," kata Marwan.

Akhirnya, peluang yang ditunggu-tunggu leh Marwan selama ini datang apabila dia menerima anggota palsu untuk kaki kirinya melalui Projek Step & Peace, program kerjasama antara MAPIM dan Balsama Centre iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan dari Lubnan.

Mengenai kaki palsu, Pengurus Balsama Center, Dr Ramzi Zeidan berkata bahawa Marwan ialah salah seorang daripada pelarian Syria yang bernasib baik kerana menerima bantuan kaki palsu yang membolehkan dia berjalan.

Beliau berkata kos kaki palsu itu adalah kira-kira AS$1,500 (kira-kira RM6,000) dan beliau mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sumbangan mereka melalui Projek Step & Peace supaya Balsama Center dapat menghasilkan anggota palsu bagi mereka yang memerlukannya.

Dr Ramzi menjelaskan bahawa Balsama Center lebih fokus untuk menjadi pembekal anggota palsu kepada pelarian Syria di Lubnan yang kehilangan tangan atau kaki akibat perang, dan sehingga bulan lepas, sejumlah 625 pelarian Syria di sekitar Lubnan telah menerima bantuan dari pusat itu.

Sementara itu, Ketua Delegasi MAPIM, Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery, berkata Marwan adalah salah seorang penerima anggota palsu bersama lima pelarian lain di sekitar Lubnan, dengan jumlah sumbangan bernilai 10,000 USD (kira-kira RM40,000) untuk fasa pertama projek itu tahun ini.

"Untuk fasa pertama projek Step & Peace, MAPIM mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sumbangan mereka kerana kami berjaya mengumpulkan RM45,000 untuk membayar kos enam anggota palsu yang diberikan kepada enam penerima di Lubnan, dan untuk fasa seterusnya sumbangan boleh disalurkan melalui www.tabungsyria.com, " katanya.

Beliau berkata, MAPIM menyumbang sebanyak AS$25,000 (RM100,000) setahun untuk projek Step & Peace dan kos keseluruhan fasa pertama ialah RM45,000. -Bernama