Seludup pil kuda, syabu dari Siam berleluasa di Kelantan

Ramli Abd Samad
Ramli Abd Samad
A
A
A

SHAH ALAM - Kedudukan Kelantan yang berjiran dengan Thailand menjadi faktor dadah sintetik jenis pil kuda dan syabu mudah diperoleh dengan mudah.

Presiden Persatuan Pengasih Malaysia, Ramli Abd Samad berkata, pil kuda ini boleh didapati dengan harga RM7 hingga RM8 sebiji di Thailand dan boleh dibeli oleh murid sekolah rendah.

Menurutnya, pil kuda itu mula menjadi kegemaran murid-murid sekolah kerana ia berbentuk pil dan mudah ditelan.

“Pil kuda adalah dadah perangsang, ia memberi tenaga kepada yang bekerja untuk jangka masa panjang, merangsang keupayaan seks kerana itu ia dipanggil pil kuda.

“Contohnya, murid sekolah yang mengambil pil kuda akan menjadi aktif, bertenaga dan rajin belajar tapi itu hanya permulaan dan jika ia diambil secara berterusan akan merangsang saraf otak sehingga menyebabkan masalah mental,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, seramai 12,477 daripada individu yang dikesan menjadi ‘hamba dadah’ dalam tempoh lima tahun bermula 2014 hingga 2018 di Kelantan adalah dalam kalangan lelaki.

Beliau berkata, sebanyak 90.1 peratus penggunaan pil kuda dan syabu oleh penagih telah direkodkan sepanjang lima tahun bermula 2014 hingga 2018.

Pada masa sama, Ramli berkata, penagih lelaki mencatatkan jumlah paling tinggi berbanding wanita kerana bersikap berani mencuba sesuatu yang baharu dan mudah terpengaruh dengan rakan.

Artikel Berkaitan:

“Daripada rekod yang didapati hanya 3 hingga 5 peratus penagih wanita dan ini mungkin kerana faktor malu dan takut untuk mencuba,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak terlibat dengan penyalahgunaan dadah supaya terus mendapatkan rawatan pemulihan di Pengasih atau mana-mana pusat rawatan pemulihan dadah.

“Jangan biarkan sebaliknya hantarlah anak ke pusat rawatan dengan segera demi masa depan mereka,” katanya.