'Lepas banjir bubar Parlimen, kan molek' - Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A
TANGKAK - Perikatan Nasional (PN) mencadangkan agar pembubaran Parlimen dibuat pada tahun hadapan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan selepas musim banjir.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN juga tetap kekal dengan pendirian tidak mahu PRU15 diadakan dalam masa terdekat kerana ada perkara lebih penting dan utama ketika ini.

"Katakan selepas bulan tiga (Mac 2023) keadaan sudah reda...situasi dah kembali pulih seperti biasa kita adakan PRU, kan senang.



"Selepas banjir bubar Parlimen antara bulan April, Mei atau Jun, kan molek begitu," katanya kepada pemberita selepas Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh pada Sabtu.

Beliau yang juga Presiden Bersatu itu berkata, PRU perlu diadakan kerana sudah ditetapkan dalam Perlembagaan pada setiap lima tahun tetapi penggal pilihan raya lalu masih belum tamat dan berbaki beberapa bulan lagi.

"Perkara kedua adalah soal banjir, semua pihak sudah tahu banjir akan berlaku setiap tahun dan situasi banjir kebelakangan ini amat buruk dengan jumlah banyak kerosakan harta benda dan mangsa yang terkorban. Takkan kita nak abaikan perkara itu,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Bekas Perdana Menteri itu juga berkata sekiranya PRU15 diadakan tahun ini, ada beberapa negeri tidak setuju membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ini akan mengakibatkan tambahan kos mengadakan pilihan raya negeri yang akan ditanggung oleh Suruhanjaya Pilihan Raya adalah sekitar RM2 bilion.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tarikh PRU15 susulan pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Yang di-Pertuan Agong, Khamis lepas. - Bernama