Audit LTAT: Najib sindir Mat Sabu

Najib Razak
Najib Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berhubung kenyataannya mengenai laporan kewangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Najib sekali lagi mempersoalkan adakah Ahli Parlimen Kota Raja itu memahami proses pengauditan terhadap laporan kewangan seperti yang dilakukan kepada LTAT.

“Mat Sabu keluarkan kenyataan akhbar bahawa dia telah tersilap dalam ceramah semalam (di Rantau) dan telah kelirukan orang ramai.

“Dia kata pembohongan itu bukan ada di laporan audit tetapi ada di laporan kewangan LTAT.

“Untuk maklumat Mat Sabu, setiap laporan kewangan yang dikeluarkan perlu diaudit oleh juruaudit juga,“ tulis Najib dalam laman Facebook beliau.

Dalam hantaran sama, Ahli Parlimen Pekan itu turut mempersoalkan apakah tindakan diambil terhadap juruaudit tersebut sekiranya laporan kewangan diaudit mereka terbukti bohong. Dalam status sebelumnya, Najib memberi respons terhadap kenyataan Mohamad dan hairan mengapa BN disalahkan dalam isu tersebut sedangkan Laporan Audit untuk 2018 dibuat semasa PH memerintah.

“Dah jangka dah. Nasib baik saya telah beberapa kali menjelaskan sebelum mereka memulakan fitnah terbaru ini,” katanya.

Semalam, Mohamad mendakwa laporan audit yang diisytihar ke atas LTAT pada 2018 adalah satu pembohongan kerana tidak menunjukkan rekod kewangan secara telus.

Artikel Berkaitan:

“Audit yang diisytihar 2018 bohong. Siapa dalam tabung angkatan tentera? Melayu ke Cina? Siapa curi? Siapa tipu? Ini kamu curi, kamu rompak, kamu tuduh Cina.

“Sampai bila nak main politik macam tu? Macam kita tak ada maruah nak bela Melayu,” jelas Mohamad pada kempen PRK DUN Rantau di Kampung Mambau, Negeri Sembilan semalam.

Begitupun, hari ini Presiden Amanah itu menjelaskan maksud kenyataannya dalam ceramah tersebut adalah berbeza seperti dilaporkan media.

"Merujuk kepada ceramah saya di Rantau, Negeri Sembilan malam tadi, ingin dijelaskan bahawa saya memaksudkan laporan kewangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

"Bukannya laporan audit seperti yang dilaporkan media," katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.