Pengarah Bahagian JPNIN antara 4 ditahan kes tuntutan palsu

147634
147634
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kluang menahan seorang pengarah bahagian di Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN) kerana disyaki melakukan kesalahan mengemukakan tuntutan palsu.

Selain itu, turut ditahan seorang penjawat awam dan dua orang awam.

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan hasil siasatan dijalankan mendapati kesemua suspek telah bersubahat membuat tuntutan palsu kepada JPNIN berjumlah lebih RM100,000.

Tuntutan palsu tersebut bagi program-program kemasyarakatan yang melibatkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di sekitar daerah dalam negeri ini, yang mana kerja-kerja pembekalan program-program tersebut tidak dilaksanakan.

“Sebahagian daripada jumlah tuntutan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi anak pengarah tersebut,” kata kenyataan tersebut di sini hari ini.

SPRM turut memaklumkan kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20-an hingga 50-an itu ditahan kira-kira jam 2 petang tadi, di Pejabat SPRM Johor.

“Dua penjawat awam yang ditahan adalah Pengarah Bahagian di JPNIN dan Penolong Pegawai Perpaduan JPNIN Batu Pahat.

“Manakala dua suspek lagi adalah orang awam iaitu seorang kontraktor pembekal dan seorang lagi merupakan anak kepada pengarah bahagian tersebut,” jelas kenyataan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan dua daripada empat suspek akan dihadapkan ke mahkamah esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.